MALAYSIA KINI
Jawatankuasa Teknikal Pindaan Perlembagaan Umno telah bersetuju dengan beberapa cadangan yang akan diperhalusi bagi memenuhi citarasa ahli Umno, khususnya generasi muda, untuk menyuarakan pandangan dan pendapat mereka.
Perkara itu telah dibincang dan dipersetujui dalam mesyuarat jawatankuasa tersebut yang dipengerusikan oleh Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, demikian menurut Umno Online.
Draf cadangan pindaan tersebut akan diperhalusi dalam bengkel pindaan perlembagaan sebelum dibawa ke jawatankuasa induk sebelum dibentang dalam persidangan perhimpunan agung khas Umno, Oktober depan.
Ia antara lain mengandungi cadangan mengenai:
* Pemilihan ahli Majlis Tertinggi (MT) di peringkat bahahagian.
* Yuran tahunan dan yuran seumur hidup.
* Sistem kuota atau kriteria calon bertanding.
* Korum atau cukup bilang persidangan.
* Penubuhan jawatankuasa pemilihan Umno (JPU) pusat, negeri, bahagian.
* Wakil calon dan hari penamaan calon.
* Pendaftaran keahlian dan hak ahli.
* Had umur pergerakan Puteri Umno.
Hari pemilihan Umno
Bagi pemilihan ahli MT, cadangan yang dikemukakan ialah ia diadakan secara berasingan daripada pemilihan bahagian dan cawangan.
Manakala satu hari ditetapkan sebagai "Hari Pemilihan Umno" yang diadakan serentak di kesemua 191 bahagian Umno di seluruh negara.
Bagi yuran pendaftaran keahlian pula, cadangannya ialah ia dipinda kepada yuran seumur hidup. Manakala ahli lama diberi tempoh tiga tahun untuk menjadi ahli seumur hidup, sebagai proses pemutihan.
Cadangan berikutnya ialah menghapuskan sistem kuota dan digantikan dengan kriteria tertentu bagi ahli yang menawarkan diri untuk bertanding dalam pemilihan parti.
Mengenai korum dalam mesyuarat pula, bagi cawangan yang mempunyai lebih 100 ahli, jumlah korum kehadiran ialah satu perempat ahli yang membayar yuran.
Manakala bagi cawangan yang mempunyai kurang daripada 100 ahli, jumlah korumnya ialah 25 orang atau 25 peratus.
Naik had umur ahli Puteri
Bagi pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri pula, jumlah korum ialah 25 orang daripada ahli yang membayar yuran.
Bagi pencalonan pula, mereka yang ingin bertanding dicadangkan perlu mendaftar dengan JPU sebelum proses pemilihanan.
Juga dicadangkan supaya pencalonan bagi kerusi MT, jawatan bagi pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri di peringkat pusat dibuat di ibupejabat Umno (JPU pusat).
Manakala pencalonan peringkat bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri bahagian dibuat dengan badan perhubungan Umno negeri (JPU negeri).
Mengenai pendaftaran keahlian pula, dicadangkan borang pemohonan menjadi ahli, boleh diterima dan ditandatangani oleh ketua cawangan atau ketua Wanita, Pemuda dan Puteri cawangan, termasuk permohonan melalui talian.
Turut dicadangkan ialah menaikkan had umur ahli Puteri Umno kepada 40 tahun, yang dikira pada 1 Januari tahun berkenaan.
Manakala had umur untuk jawatan letua Puteri Umno dinaikkan kepada 45 tahun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan