BERITA HARIAN ONLINE
PUTRAJAYA: Majikan di negara ini dibenar menyimpan pasport pembantu rumah mereka sama seperti apa dilakukan majikan di Hong Kong, Singapura dan Arab Saudi.
Ketua Pengarah Imigresen, Abdul Rahman Othman, berkata majikan di negara ini dibenarkan berbuat demikian untuk ‘menjaga dengan selamat’ dokumen berkenaan, manakala pembantu rumah masih boleh menggunakan I-Kad untuk membuktikan mereka adalah pekerja sah jika ditahan pihak berkuasa.
Beliau juga menasihatkan majikan supaya tidak membayar wang pendahuluan kepada agensi pekerja asing yang mahu digunakan untuk kos perjalanan pembantu rumah ke Malaysia kerana ia boleh ditolak daripada gaji bulanan mereka secara ansuran kemudian.
"Pekerja dari Vietnam misalnya, berusaha membuat pinjaman di negara mereka sebelum datang bekerja di sini," katanya di sini, semalam.
Abdul Rahman juga berkata, pembantu rumah Indonesia yang dihantar ke sini kurang kualiti berbanding berkhidmat di negara seperti Hong Kong dan Arab Saudi.
dan Singapura.
Bagaimanapun, katanya, pada masa sama, jabatan turut memandang berat kebajikan pembantu rumah yang bekerja di sini termasuk kes penganiayaan.
Ditanya sama ada jabatan akan merampas bon peribadi RM250 yang dibayar untuk pembantu rumah jika melarikan diri, beliau berkata, bayaran itu adalah untuk subsidi penghantaran balik warga asing berkenaan.
Justeru, katanya majikan perlu segera melaporkan kepada jabatan jika pembantu rumah mereka melarikan diri bagi membolehkan tindakan pengesanan dilakukan termasuk menyenaraihitam mereka daripada memasuki Malaysia sebagai pekerja pada masa depan.
Beliau juga berkata, jabatan akan mewujudkan sistem yang memerlukan majikan menunjukkan buku akaun bank pembantu rumah mereka untuk membuktikan bahawa gaji dibayar dengan sempurna.
"Selepas jabatan berpuas hati pembantu rumah berkenaan tidak dianiaya baru kita akan memperbaharui permit," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan