HALAMAN SANTAI

Khamis, 25 Jun 2009

UKM cadang pasang jeriji besi asrama perempuan

BERITA HARIAN ONLINE


KAJANG: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bercadang memasang jeriji besi di semua blok asrama perempuan terutama tingkat tiga ke atas sebagai langkah berjaga-jaga berikutan kejadian seorang pelajarnya mati selepas terjatuh dari tingkat empat asramanya, kelmarin.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UKM, Prof Datuk Dr Mohamad Abdul Razak, bagaimanapun berkata perbincangan akan diadakan terlebih dulu dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat supaya cadangan itu tidak mengabaikan aspek keselamatan penghuni asrama.

“Kita bimbang pemasangan jeriji dikhuatiri akan menimbulkan kontroversi pada masa akan datang jika akibatnya penghuni asrama tidak dapat diselamatkan apabila berlaku kebakaran.

“Satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan membabitkan pengurus kolej dan pengawal keselamatan bagi membincangkan masalah dan mengesan punca kematian Wan Siti Farihan Mohamed Hassan, 23, kelmarin. Ia kejadian pertama seumpama di UKM.

“Saya menganggap kejadian ini serius dan diharapkan polis boleh mempercepatkan siasatan supaya semua pihak terutama ibu bapa pelajar tidak risau,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Mohamad berkata, dakwaan kematian Wan Siti Farihan, akibat dikejar lembaga juga akan disiasat jawatankuasa itu.

Katanya, sekiranya perlu dan bukti gangguan seperti didakwa, rujukan daripada pihak yang lebih mahir berkaitan isu itu akan dibuat.

Dua hari lalu, Wan Siti Farihan, seorang siswi Sarjana Sains Kimia UKM ditemui mati di kawasan letak kenderaan Blok C, Kolej Kediaman Pendeta Za'ba dipercayai terjatuh dari tingkap biliknya di tingkat empat bangunan itu selepas dikatakan dikejar satu lembaga.

Mayat Wan Siti Farihan yang lengkap berpakaian kemeja-T kuning dan berkain batik ditemui seorang tukang sapu di depan pintu laluan utama kolej itu, dalam keadaan mengiring dan muka lebam serta mulut berdarah, kira-kira jam 7 pagi.

Jenazah Wan Siti Farihan dibawa pulang ke Padang Bongor, Pengkalan Chepa, Kelantan dan selamat dikebumikan selepas solat Subuh kira-kira jam 7 pagi semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Shakaruddin Che Mood, berkata laporan bedah siasat mengesahkan mangsa mati mengejut dan tiada sebarang unsur jenayah.

Beliau berkata, mangsa meninggal dunia akibat kecederaan tulang rusuk kiri yang patah, selain pendarahan dalaman.

Tiada ulasan: