HALAMAN SANTAI

Selasa, 2 Jun 2009

Pencen kurang upaya tentera terlalu rendah

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Wajarkah seorang anggota tentera yang kehilangan anggota tubuh dan cacat seumur hidup kerana berjuang mempertaruhkan nyawa demi keamanan negara menerima pencen kurang upaya antara RM66.36 dan RM400 sebulan?

Mereka bukannya cacat dan cedera akibat terjatuh motosikal tetapi sebaliknya terkena jerangkap samar dan serangan pengganas komunis semasa bertempur mempertahankan negara ketika zaman darurat.

Kebanyakan anggota terbabit pada masa ini sudah tua dan menerima pencen yang ditetapkan pada tahun 1960-an dan 1970-an.

Untuk rekod, ketika ini terdapat kira-kira 1,600 anggota tentera yang dikategorikan sebagai anggota kurang upaya dengan 40 peratus daripadanya mendapat kecederaan semasa bertempur dengan pengganas komunis.

Presiden Persatuan Bekas Tentera Melaysia (PBTM), Datuk Muhammad Abdul Ghani berkata, pada masa ini kerajaan meluluskan pembayaran mengguna pakai konsep Ex-Gratia Bencana Kerja bagi anggota tentera yang cedera mulai 1 Januari 2001 ke atas.

Bagaimanapun katanya, kerajaan barangkali terlepas pandang kepada bekas anggota tentera yang cedera sebelum 2001 yang juga seharusnya mendapat keistimewaan tersebut.

"Bekas tentera itu sebenarnya lebih layak memandangkan terdapat sebahagian daripada mereka yang tercedera ketika bertugas sewaktu peristiwa penting seperti menentang komunis, era konfrontasi, peristiwa 13 Mei dan sebagai pengaman di Congo.

"Jumlah mereka juga sebenarnya tidak ramai iaitu kira-kira 600 orang dan sewajarnya kerajaan turut memberi perhatian dengan memberikan lebih penghargaan kepada mereka," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bersama anggota-anggota tercedera semasa menentang pengganas komunis ketika darurat di Wisma Pahlawan di sini hari ini.

Tambah Muhammad, tuntutan supaya kerajaan mengkaji balik dan memberi perhatian sewajarnya, bukan bermaksud bekas tentera 'terlalu berkira' dengan sedikit sumbangan yang dicurahkan selama ini.

Mereka juga, katanya, tidak bermaksud meminta balasan dan penghargaan melampau daripada kerajaan tetapi sekurang-kurangnya mampu meringankan sedikit penderitaan mereka memandangkan tuntutan ekonomi yang semakin meningkat kini.

"Pembelaan itu perlu dilihat dari sudut jangka masa panjang kerana secara tidak langsung ia memberi perangsang kepada generasi muda untuk menceburi sektor keselamatan negara dan diyakini bahawa sumbangan mereka kelak akan sentiasa dikenang dan dihargai," katanya.

Tiada ulasan: