UTUSAN ONLINE
KANGAR - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengingatkan golongan remaja terutama kaum wanita tidak terjebak dalam kegiatan merakamkan aksi terlampau sehingga boleh menjejaskan masa depan diri sendiri.
Baginda bertitah, kegiatan sexting yang banyak dirakam melalui telefon yang mempunyai kamera video hanya merugikan mereka terutama apabila disebarkan oleh teman lelaki atau bekas teman lelaki yang tidak bertanggungjawab.
Titah baginda, terdapat kes aksi yang tidak sepatutnya dirakam itu dijadikan bahan ugutan oleh bekas teman lelaki sehingga membawa kepada kesan buruk dan mengaibkan wanita itu sendiri.
''Saya menyeru agar golongan remaja terutama wanita berfikir sedalam-dalamnya bagi mengelak perkara sebegini terjadi.
''Banyak kes yang didapati apabila keterlanjuran itu akhirnya menjerat diri mereka sendiri apabila bekas teman lelaki mengambil kesempatan dengan menyebarkan gambar yang tidak sepatutnya itu ke dalam Internet yang boleh diakses oleh sesiapa sahaja,'' titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Majlis Kejohanan Lumba Basikal Wanita Terbuka Perlis di sini hari ini. Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah turut berangkat.
Kejohanan yang pertama kali itu diadakan sempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail yang ke-66.
Ia turut mendapat penyertaan pasukan dari Vietnam, Laos, Thailand, Kazakhstan dan 13 pasukan dari negeri-negeri seluruh Malaysia.
Raja Muda Perlis bertitah, golongan lelaki yang melakukan perbuatan tersebut termasuk jenayah rogol dan ragut seharusnya tidak menjadikan golongan wanita sebagai mangsa.
''Bagi golongan lelaki, fikirlah dengan matang apakah akan terjadi sekiranya perkara yang sama berlaku kepada emak, adik perempuan, kakak atau saudara perempuan kita sendiri.
''Apakah perasaan kita sekiranya orang yang rapat dengan kita sendiri menjadi mangsa keganasan mereka yang tidak berperikemanusiaan ini,'' titah baginda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan