Putrajaya akan mengukuhkan kedudukan untuk menahan penjenayah tanpa bicara sehingga dua tahun apabila ingin meminda Akta Pencegahan Jenayah (PCA) di Parlimen hari ini.
Pindaan berkenaan akan menyamai Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang tidak memasukkan semakan kehakiman, kecuali jika melibatkan langkah prosedur.
"Ini bermakna kita tidak boleh menyemak di mahkamah untuk mempersoalkan keputusan substansif kementerian terhadap tahanan," kata Ahli Parlimen Padang Serai, N Surendran hari ini.
PCA sekarang ini hanya membenarkan tahanan selama 72 hari terhadap individu yang ditahan di bawah akta berkenaan.
Akta itu juga mengkehendaki tahanan dibawa ke mahkamah sebelum ditahan selama 72 hari.
Ia digunakan secara efektif sebelum ISA dikuatkuasakan dan melalui pindaan itu, Putrajaya ingin menggunakan akta berkenaan sekali lagi.
PCA bagaimanapun tidak meliputi kawasan Sabah dan Sarawak kerana ia dikuatkuasakan pada 1959 sebelum negeri Borneo menyertai Malaysia, dan pindaan hari ini akan memasukkan peruntukan melibatkan dua negeri berkenaan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (gambar) bagaimanapun pada Julai lalu berkata, akan melakukan cadangan untuk melaksanakan tahanan tanpa bicara.
"Saya tidak boleh mengumumkannya sekarang, tapi ada cadangan itu," katanya dan menambah polis memerlukan akta sedemikian bagi mengukuhkan kedudukan pencegahan jenayah mereka.
Beliau bagaimanapun mengakui peruntukan sedemikian sukar dibawa ke Parlimen kerana akan mendapat bantahan daripada pembangkang dan pertubuhan sosial.
"Tetapi saya perlu rasional, kerana Majlis Peguam dan pembangkang tidak menyokong," katanya.
Menteri itu berkata, rakan Kabinetnya, Datuk Paul Low dan Datuk Nancy Shukri yang kedua-duanya adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri ditugaskan mengumpul maklumat daripada Majlis Peguam, badan bukan kerajaan dan ahli politik.
“Tiga kementerian sedang bekerjasama, saya mengarahkan mereka, saya jangka kita akan bentangkan minggu hadapan," katanya.
Ordinan Darurat adalah akta keselamatan yang dikuatkuasakan pada 1969 selepas tercetus rusuhan kaum 13 Mei yang membenarkan tahanan tanpa bicara sehingga dua tahun, sama seperti ISA, namun kedua-duanya dimansuhkan pada 2011.
EO kebiasannya digunakan untuk mencegah kumpulan gengster namun turut digunakan terhadap kanak-kanak yang ditahan di fasiliti kumpulan dewasa.
Ahmad Zahid adalah antara “pelobi keras” terhadap tahanan tanpa bicara kerana katanya ia berkesan mengekang jenayah.
Kementeriannya juga mendakwa pemansuhan EO menyebabkan peningkatan mendadak kadar jenayah.
Ahli Parlimen Bagan Datoh itu dilaporkan berkata sejumlah 2,600 tahanan yang dibebaskan di bawah EO kini "berlegar" di jalanan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan