KUALA LUMPUR- DAP menyarankan kerajaan agar
meminda undang-undang sivil dan syariah bagi melarang perkahwinan
membabitkan kanak-kanak bawah umur.
Ahli Parlimen DAP Kulai, Teo Nie Ching berkata, tindakan
perlu segera dilaksanakan kerana pengantin kanak-kanak ini cenderung
untuk tidak melengkapkan pendidikan mereka dan lebih terdedah kepada
pelbagai risiko.
Beliau berkata demikian merujuk kepada tragedi menimpa
seorang gadis Yaman berusia 8 tahun baru-baru ini yang meninggal dunia
akibat kecederaan dalaman yang dialami pada malam pertama perkahwinan.
Menurutnya, selepas tragedi itu, dilaporkan Menteri Hak
Asasi Manusia Yaman, Huriya Mashoor kini berikrar mengharamkan
perkahwinan kanak-kanak dan akan menekankan di Parlimen bagi memastikan
umur minimum perkahwinan adalah 18 tahun.
“Sudah
tiba masanya, Malaysia mengambil langkah meminda undang-undang sivil
dan syariah melarang perkahwinan kanak-kanak sebelum terlambat supaya
tragedi yang berlaku di Yaman tidak berlaku di sini.
“Bukan sahaja kerana kanak-kanak perempuan antara 10 dan 14
tahun adalah lima kali lebih banyak berbanding wanita berusia 20 hingga
24 tahun meninggal ketika mengandung dan melahirkan anak, tetapi juga
akibat pengantin kanak-kanak ini cenderung untuk tidak melengkapkan
pembelajaran mereka malah terdedah kepada penderaan fizikal, seksual dan
mental.
“Undang-undang usia itu juga mestilah sama antara Muslim
dan bukan Muslim terutama apabila tidak ada bukti saintifik untuk
membuktikan bagaimana agama boleh memberi kesan pada kematangan mental
dan fizikal seseorang,” katanya dalam kenyataan.
Mengikut undang-undang negara, umur perkahwinan bukan Islam
adalah 18 tahun, namun perkahwinan dibenarkan untuk mereka yang berumur
antara 16 dan 18 tahun dengan kebenaran bertulis daripada ketua
menteri.
Bagi orang Islam, umur perkahwinan untuk lelaki adalah 18
dan perempuan, 16 tahun, tetapi melalui kebenaran Mahkamah Syariah, umat
Islam boleh berkahwin bila-bila masa tanpa had umur.
Pada masa sama, Nie Ching yang juga Penolong Setiausaha DAP
Kebangsaan turut merujuk kes yang berlaku Mei lalu, apabila seorang
lelaki dari Sabah, Riduan Masmud, berusia 40 tahun mengahwini mangsa
rogol berumur 12 tahun sebagai isteri keduanya.
Katanya, perkahwinan lelaki dari Sabah itu hanya sebahagian
kecil daripada bilangan data yang diperoleh. Mengikut Banci Penduduk
dan Perumahan 2000, terdapat sejumlah 6,800 kanak-kanak perempuan bawah
15 tahun telah berkahwin dengan masyarakat Melayu mencatat kadar
tertinggi seramai 2,450 diikuti Bumiputera lain sebanyak 1,550, Cina
1,600, India 600 dan lain-lain 600.
“Data juga menunjukkan bahawa 235 kanak-kanak berumur
antara 10 dan 14 sudah menjadi balu dan 77 bercerai atau terpisah
selama-lamanya.
“Sebaliknya, statistik Jabatan Agama Islam negeri turut
menunjukkan peningkatan sebanyak 35 peratus dalam permohonan perkahwinan
yang membabitkan individu bawah umur antara 2008 dan 2010 di Kedah.
“Jabatan itu menerima 75 permohonan perkahwinan daripada
individu bawah umur pada 2008, 2009 (99) dan 2010 (101). Daripada jumlah
itu, 90 peratus membabitkan gadis bawah 16 tahun,” ujarnya.
-Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan