Kerajaan negeri Pulau Pinang mahu Unit Cawangan Khas (SB) Polis Diraja Malaysia menyediakan laporan prestasi wakil rakyat dan penglibatan mereka semasa pilihan raya, seperti didedahkan bekas exco negeri Pulau Pinang, Toh Kin Woon dalam Tribunal Rakyat anjuran Bersih.
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng (gambar) berkata unit cawangan itu tidak pernah menyediakan sebarang laporan kepada beliau sejak memegang jawatan pada 2008 meskipun beliau mengadakan mesyuarat bulanan Majlis Perundingan Keselamatan dan Ketenteraman Awam Negeri Pulau Pinang (MPKKANPP) bersama ketua polis negeri.
“Mesyuarat saya bersama ketua polis negeri, hanya membincangkan masalah jenayah dan tiada sebarang maklum balas dari Unit Cawangan Khas dan polis mengenai akses maklumat prestasi wakil rakyat atau kawasan yang memerlukan perhatian.
“Semasa mesyuarat bulanan MPKKANPP, tumpuan utama adalah untuk bekerjasama serta berkongsi maklumat dan sumber bagi memerangi dan mengurangkan jenayah.
“Mesyuarat ini merupakan usaha anti-jenayah bersama yang telah berjaya menjadikan Pulau Pinang sebagai salah satu bandar paling selamat di Malaysia dengan penurunan tertinggi dalam indeks jenayah selama 5 tahun berturut-turut sejak 2008.
“Walaupun terdapat peningkatan aktiviti jenayah pada tahun ini, ia telah ditangani oleh kerajaan negeri dengan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dan menyediakan kakitangan untuk memantau CCTV tersebut agar anggota polis dapat melaksanakan tugas teras mereka, iaitu rondaan di tempat awam,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau menjelaskan penubuhan Pasukan Peronda Sukarela (PPS) untuk menjalankan tugas kepolisan komuniti telah membantu polis untuk memberi tumpuan kepada kawasan jenayah aktif setelah kenaikan lebih daripada 8% jenayah untuk lima bulan pertama tahun ini telah dikurangkan kepada 3.3% pada September tahun ini.
Katanya, walaupun tiada laporan atau taklimat dari Cawangan Khas, kerajaan negeri Pulau Pinang tetap akan meneruskan mesyuarat MPKKANPP kerana ia adalah satu platform berkesan untuk memanfaatkan segala sumber dan meningkatkan kerjasama dengan semua agensi bagi memerangi jenayah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan