SEPERTI yang didedahkan kerajaan Khamis lalu, ada 49 kongsi gelap di seluruh negara, dengan tiga daripadanya - Geng 36, Geng 04 dan Geng 08 – dikesan sebagai paling berbahaya.
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi yang mendedahkan perkara tersebut kepada media memberitahu kesemua kumpulan haram ini giat dalam pelbagai jenayah termasuk pengedaran dadah, peras ugut, pelacuran dan pergaduhan.
Didedahkan juga jumlah keahlian kongsi gelap yang kini aktif di seluruh negara, seperti yang direkodkan polis, ialah 40,313 orang. Begitu banyaknya samseng di sekeliling kita! Maka tidak menghairankan setiap detik ada sahaja terjadi jenayah di tempat kita.
Sebelum ini kerajaan berkali-kali menegaskan bahawa peningkatan kadar jenayah hanyalah satu persepsi. Kini sudah jelas, dengan begitu banyak pertubuhan kongsi gelap, dan dengan berpuluh ribu menjadi ahlinya, apa yang dianggap persepsi sebenarnya satu realiti.
Syabas kepada kerajaan, khasnya kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang berani mendedahkan geng-geng kongsi gelap tersebut. Sekurang-kurangnya orang ramai kini betul-betul disedarkan begitulah banyaknya samseng di tempat kita, maka kita perlu sentiasa awas dan berjaga-jaga.
Selama ini kita selalu digambarkan bahawa kadar jenayah tidak membimbangkan, indeks jenayah menurun, kita ditunjukkan angka-angka yang tidak meyakinkan. Kini dengan pengesahan KDN tahulah kita situasi sebenar.
*SYABAS juga kepada polis yang sejak 23 Ogos lalu melancarkan Op Cantas di seluruh negara dalam usaha mengesan dan membanteras kegiatan kongsi gelap. Seperti ditegaskan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin, operasi akan diteruskan.
“Kita akan teruskan sehingga keyakinan rakyat terhadap keselamatan meningkat dan persepsi ‘rasa takut menjadi mangsa jenayah’ berkurangan,” kata beliau.
Menurut orang No. 2 Bukit Aman itu, sejak Op Cantas dimulakan, 2,247 orang ditahan (sehingga Khamis) di seluruh negara dengan tujuh senjata api, satu bom tangan dan 77 senjata tajam berbahaya dirampas.
Jumlah yang ditahan itu sebenarnya masih terlalu kecil berbanding jumlah kongsi gelap 40,313 orang. Apa pun dengan kesungguhan polis untuk meneruskan operasi ini, orang ramai yakin pasti ada satu perubahan positif.
Harap-harap ketegasan dan kesungguhan ini tidak hanya acah-acah atau hangat-hangat tahi ayam. Di pihak orang ramai pula berilah kerjasama sepenuhnya kepada polis dalam membanteras jenayah. Semoga dengan kerjasama semua, kadar jenayah dapat diturunkan, dan keamanan menjadi realiti.
*KALAU kita tegas, orang akan takut. Apa yang terjadi di Hulu Langat, Selangor beberapa hari lalu adalah ketegasan yang patut dilakukan berterusan. Berang dengan sikap angkuh pemilik pusat perjudian di daerah ini yang berterusan menjalankan operasi walaupun telah beberapa kali diserbu, polis melakukan sesuatu yang lebih tegas.
Seperti yang dilaporkan media, lebih 20 buah premis di daerah tersebut bukan sahaja diserbu, tetapi kotak meter dan fius elektrik di premis premis berkenaan telah dicabut dan dipotong dari tiang elektrik, menyebabkan bekalan terputus.
Polis dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) hanya mencabut kotak meter dan fius dari premis sahaja tetapi pemilik yang berdegil melakukan penyambungan semula secara haram untuk meneruskan operasi.
Sebenarnya banyak premis hiburan di seluruh negara telah beberapa kali diberi amaran – ada yang sepuluh kali amaran! – tutup sehari dua, kemudian buka semula. Pusat hiburan tanpa lesen ini menjadi sarang pelacuran dan pengedaran dadah.
Pemilik premis terang-terang melanggar undang-undang, tetapi penguatkuasaan yang lembap lagi sempoi menyebabkan pusat-pusat hiburan haram terus berleluasa, sehingga timbul anggapan bahawa pihak penguat kuasa rasuah. Malah ada tuduhan pusat-pusat haram ini didalangi oleh pegawai-pegawai pihak berkuasa. Ini pun perlu diperhatikan dan diambil tindakan di bawah Op Cantas.
*AKHIR kalam, hari ini genap 56 tahun kita merdeka. Walaupun tidak ramai mengibarkan Jalur Gemilang di rumah, saya percaya rata-rata rakyat cinta dan sayangkan negara ini. Tidak kira apa caranya, selamat menyambut ulang tahun kemerdekaan!.S/H
Tiada ulasan:
Catat Ulasan