HALAMAN SANTAI

Rabu, 1 Januari 2014

Langkah bagus, namun masih belum cukup


Langkah bagus, namun masih belum cukup   
ABDUL SHUKUR, JOHAN, SHAMSUDDIN


SHAH ALAM - BN Selangor menyambut baik 11 langkah yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi mengurangkan perbelanjaan sektor awam, termasuk mengurangkan elaun keraian menteri dan timbalan menteri sebanyak 10 peratus, berkuatkuasa hari ini.

Setiausahanya, Datuk Johan Abdul Aziz berkata, pihaknya bersetuju dengan langkah diambil perdana menteri itu kerana ia langkah penjimatan yang wajar.

“Saya juga menyarankan agar langkah penjimatan ini juga melibatkan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) supaya langkah untuk berjimat ini dapat direalisasikan lebih menyeluruh,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Kelmarin, Najib mengumumkan langkah bagi mengurangkan perbelanjaan sektor awam selepas rundingan dengan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Tambah Johan, langkah yang diumumkan Najib ini belum mencukupi dan yakin banyak lagi cara patut diambil bagi mengurangkan kos perbelanjaan dalam sektor awam.

“Namun, kita sambut baik hasrat perdana menteri ini dan bagi saya, ia hanya langkah awal dan perlu ditambah lagi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan BN Selangor, Abdul Shukur Idrus berkata, langkah yang diambil Najib itu merupakan hasrat murni demi kepentingan rakyat.

“Pengumuman yang dibuat perdana menteri itu sekali gus memberi pengajaran kepada pihak yang terlibat untuk berbelanja secara berhemah dan mengurangkan beban yang ditanggung kerajaan selama ini,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya mengalu-alukan langkah yang diambil Najib dan berharap ia boleh memberi kebaikan kepada rakyat.

“Dengan langkah diambil ini, saya berharap wang hasil pengurangan perbelanjaan boleh digunakan untuk kesejahteraan dan keselesaan rakyat.

“Paling penting, saya juga berharap dengan langkah penjimatan ini, ia tidak menjejaskan prestasi kerja pihak terlibat malah, mereka boleh meningkatkan lagi kualiti kerja,” katanya.

Tambah beliau, walaupun pengurangan sebanyak 10 peratus yang dijalankan perdana menteri agak sedikit, ia merupakan jumlah besar dan mampu memberi kebaikan kepada rakyat.

Dalam pada itu, Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Shamsuddin Lias juga bersetuju dengan langkah belanjawan yang dijalankan perdana menteri sebagai salah satu langkah untuk berjimat.

“Jumlah 11 peratus ini bakal memberi impak besar dari segi penjimatan dalam sektor awam dan saya memang tertunggu-tunggu pengumuman dibuat Najib ini,” katanya.

Menurutnya, dalam keadaan rakyat kini yang semakin terhimpit dengan kenaikan harga barangan baru-baru ini, langkah ini sangat sesuai dilaksanakan.

“Ini yang dikatakan kepimpinan melalui tauladan kerana langkah penjimatan ini bermula di peringkat kementerian.

“Ini sekali gus mengajar kakitangan awam lebih berdisiplin dalam mengeluarkan belanjawan di peringkat kementerian,” katanya.

Tiada ulasan: