Oleh AISHAH
Datuk Saifuddin Abdullah mengumumkan perletakan jawatannya
sebagai Felo Penyelidik Kanan, Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FSSS),
Universiti Malaya, berkuatkuasa hari ini sebagai bantahan terhadap
peletakan jawatan Profesor Datuk Dr Mohamad Redzuan Othman sebagai
pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya (UMcedel).
Menurut laporan media, Pengarah UMCEDEL telah diarah oleh
pihak Kementerian Pengajian Tinggi untuk meletak jawatan. Ini mungkin
ekoran kajian-kajiannya sebelum ini yang tidak disenangi pemerintah
sekarang – kerajaan BN.
Dato’ Saifuddin menyatakan prinsip kebebasan akademik sebagai alasan peletakan jawatan beliau:
“Atas prinsip kebebasan akademik dan solidariti, saya letak jawatan sebagai felo penyelidik kanan UM hari ini. Ia berkaitan kes menimpa Dr Redzuan.”
Amat menarik untuk diperhatikan betapa jelasnya cengkaman
parti politik ke atas pentadbiran IPT. Ini bukan sahaja membunuh jiwa
pendidik yang ingin menyumbang kepada masyarakat tetapi juga meneruskan
kitaran pembodohan di universiti tempatan buat mengekalkan status quo.
Tindakan ini bukan sahaja terjadi di UM malah universiti
lain untuk mendiamkan pensyarah-pensyarah, selain AUKU dan Akta Hasutan
yang menyekat kebebasan mahasiswa-mahasiswi.
Perkembangan mutakhir ini sekaligus membuktikan pemberian
autonomi kepada 5 buah IPT ketika DS Mohamed Khaled Nordin memegang
portfolio Menteri Pengajian Tinggi hanyalah penjenamaan kosmetik.
Kebebasan akademik dikekang dan mahasiswa/i dikongkong
untuk beraktiviti di luar lingkungan ‘yang dibenarkan’. Selama
pemerintahan Barisan Nasional lebih 50 tahun, mahasiswa/i telah
didoktrin dan dirampas kebebasan berkegiatan dengan bermacam peraturan
oleh pentadbiran universiti.
Mereka ditakut-takutkan untuk keluar dari ruang universiti
dan hanya belajar mengikut silibus yang ditentukan untuk mendapat
segulung ijazah dan kerja. Upaya-upaya seperti ini tidak menggalakkan
budaya berfikir kerana dianggap akan membahayakan kerajaan.
Bukan itu sahaja, sehingga kini sejak tahun 1979, Laporan
Jawatankuasa Kabinet yang mengkaji semula pelaksanaan dasar pelajaran
kebangsaan telah gagal untuk mencapai tujuan, antaranya untuk menumpukan
sumber berkemahiran demi kemajuan dan pembangunan negara dan menekankan
sisi pendemokrasian pendidikan.
Setelah 35 tahun, walaupun pelbagai penyata/laporan
diterbitkan, sehinggalah yang terakhir Pelan Induk Pembangunan
Pendidikan (2006-2010) dan Pelan Pembangunan Pendidikan (2013-2025),
sistem pendidikan kita masih lagi tidak mampu dibanggakan.
Malah, baru-baru ini kedudukan Malaysia terkeluar daripada senarai universiti awam terbaik global.
Menurut Times Higher Education Asia University 2014, tiada universiti tempatan masuk senarai 100 terbaik dan Thailand turut berjaya yang dianggap oleh Times Higher Education sebagai negara Asia Tenggara yang mempunyai industri pengajian tinggi besar. Kementerian Pendidikan menerima RM38.7 bilion pada 2013 dan ditingkatkan kepada RM54 bilion tahun ini, bajet terbesar yang pernah diterima dalam sejarah kementerian itu. (Malaysian Insider, 19 Jun 2014)
Persoalannya, sejauh mana belanjawan yang diberikan ini menjamin prestasi sistem pendidikan di negara ini?
Adakah belanjawan ini dilorongkan untuk prasarana dan ICT,
jika demikian bagaimanakah keadaan sekolah-sekolah di Sabah, Sarawak,
dan kawasan pedalaman di Semenanjung Malaysia lainnya?
Adakah kemerosotan ini merupakan manifestasi sistem pendidikan yang tidak demokratik?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan