SHAH ALAM: Sikap sambil lewa pemimpin negara mungkin menjadi faktor
yang menyumbang kepada penglibatan rakyat Malaysia dalam kegiatan
militan di Syria dan Iraq, ujar Presiden Ikatan Muslimin Malaysia
(ISMA), Abdullah Zaik Abdul Rahman.
Menjelaskan dengan lebih lanjut, beliau berkata puluhan rakyat Malaysia
ke sana untuk berjihad dan membantu umat Islam atas dasar kemanusiaan.
Sedangkan pemimpin negara hanya berpeluk tubuh tanpa mengambil sebarang jalan penyelesaian untuk membantu negara berkenaan.
"Peranan dari segi kepimpinan Islam itu tidak mengambil bahagian dan
peranan yang wajar cukup untuk menghilangkan rasa gelora dalam hati
pemuda.
"Kalau pemimpin kita tidur (tidak berbuat apa-apa), pemimpin negara
Islam tidak ada kesedaran, kemudian dia melihat umat Islam kini
teraniaya tertindas dan dibunuh oleh musuh-musuh Islam dalam keadaan
pemimpin Islam tidak buat apa-apa," ujarnya kepada Antarapos ketika
dihubungi.
Selain itu juga menurut beliau lagi, kekurangan ilmu agama
mengakibatkan mereka yang sanggup menjadi peserta militan di sana
sekaligus langkah yang diambil kononnya atas nama Islam itu terpesong.
Tambahnnya adalah penting umat Islam mendalami ilmu agama bagi
mengelakkan individu itu tersilap langkah dalam memperjuangkan hak
mereka sebagai Islam.
"Kemungkinan mereka sendiri tidak faham atau mereka tidak mendalami
agama sehingga memahami bagaimana sesuatu perkara itu dalam konteks
agama boleh dilaksanaan secara tepat dan betul.
"Kalau tidak memiliki ilmu atau agama kemampuan ijtihad dengan betul,
membaca realiti secara tepat mereka boleh terjerumus dengan semangat
mungkin didorong semangat jihad semata-mata mereka merasakan itu jalan
pintas untuk melakukan atau mendekatkan diri kepada Allah ataupun masuk
syurga tanpa melihat implikasi jihad itu dari segi tujuan dan maksud
jihad yang sebenarnya boleh dicapai atau tidak," jelasnya.
Baru-baru ini, polis mendedahkan sedang memburu lima lelaki termasuk
seorang pensyarah Universiti Malaya (UM) kerana disyaki mempunyai kaitan
dengan kumpulan militan yang dipercayai mahu menyertai perjuangan
Kumpulan Negara Iraq dan Jajahannya (ISIL).
Pada 18 Jun lalu, Wakil Tetap Syria ke PBB mendakwa seramai 15 warga Malaysia terlibat dalam aktiviti-aktiviti jihad ISIL.
Sehubungan itu, pemimpin negara disarankan agar mengambil langkah
proaktif untuk membela nasib umat Islam di sana agar dapat meredakan
semangat keterlaluan individu tertentu yang akan memberi kesan negatif
pada akhirnya kerana dipergunakan oleh pihak yang berkepentingan.
"Jadi saya rasa itu masalah yang perlu diatasi dengan cara yang
menyeluruh, kalaulah kerajaan mengambil sikap yang betul, mengambil
pendirian yang betul dalam membela nasib umat Islam di tempat lain yang
teraniaya, tertindas mungkin pemuda-pemuda ini rasa keperluan dia atau
gelora dalam hati terisi dan terjawab," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan