HALAMAN SANTAI

Jumaat, 25 Julai 2014

Khalid: Konsensus Pakatan wajib untuk tukar saya

Oleh Shuhaniza Said

 
Post Pic
 
 
 
KAJANG: PKR tidak boleh mengusulkan perlantikan menteri besar baru untuk Selangor selagi ia tidak mendapat persetujuan PAS dan DAP sebagaimana yang disyaratkan oleh Istana Selangor, kata Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
 
Menteri Besar dua penggal itu selanjutnya menjelaskan bahawa persetujuan ketiga-tiga komponen Pakatan Rakyat wajib kerana Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah akan mengambilkira perkara berkenan sebelum memberi perkenan.
 
"Untuk kefahaman masyarakat, semasa saya dicadangkan untuk dilantik menjadi menteri besar pada 2008, saya telah diminta oleh tuanku sultan untuk bawa tiga surat dari PR. 
 
"Tiap-tiap surat itu ditandatangani oleh Presiden PKR, PAS dan DAP. Selepas PRU13 saya juga menghadap Sultan dan baginda menerima pelantikan saya bila baginda menerima surat berasingan iaitu surat dari Presiden PAS, PKR dan DAP. 
 
"Jadi apa yang saya nak tunjukkan bahawa pelantikan menteri besar ini bukan dibuat oleh satu parti saja tapi dibuat oleh kumpulan, umpamanya di Selangor dari PR yang diterima oleh Tuanku Sultan secara berasingan apabila ia disatukan PR menguasai kerusi DUN Selangor," katanya.
 
Beliau selain itu mengulangi pendirian bahawa pelantikan atau pengguguran menteri besar perlu dilakukan mengikut tatacara seperti yang termaktub dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor.
 
"Apapun untuk mendapat jawatan menteri besar, ada peraturan dan enakmen yang perlu diikuti supaya pelantikan atau pengunduran menteri besar itu dapat dilakukan dengan tertib dan cermat," kata beliau.
 
Sebelum ini, Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Samad dan Ketua Pemuda PAS Selangor, Syarhan Humaizi membantah keputusan PKR yang mencalonkan Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai pengganti Khalid.
 
Iskandar selain itu berkata PAS negeri mahupun Pusat tidak pernah memutuskan pertukaran Khalid dengan Wan Azizah.
 
Semalam, Ketua Umum PKR  Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal mendapat persetujuan DAP dan PAS untuk nama Wan Azizah dikemukakan kepada istana Selangor untuk dilantik sebagai Menteri Besar menggantikan Khalid. 
 
Sebaliknya PAS dan DAP hanya bersetuju untuk membincangkan usul Anwar itu di peringkat parti masing-masing sebelum memberikan keputusan rasmi mereka. 
 
Dalam perkembangan yang sama , Khalid turut diminta mengulas berhubung cadangan Lensa Anak Muda Malaysia (LENSA) agar PKR mengadakan referandum berhubung pertukaran menteri besar. 
 
Beliau berkata cadangan itu hanya satu alternatif namun mengingatkan bahawa kaedah itu tidak terkandung dalam perlembagaan Selangor bersabit pelantikan menteri besar. 
 
"Itu tidak termasuk dalam enakmen negeri Selangor (dalam pelantikan menteri besar)," katanya lagi.

Tiada ulasan: