HALAMAN SANTAI

Jumaat, 25 Julai 2014

Tumpukan ibadah, jangan berpolitik, titah Sultan Selangor

Oleh Shuhaniza Said

 
Post Pic
 
 
 
HULU LANGAT: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menggesa rakyat negeri itu supaya tidak ghairah berpolitik, sebaliknya  melipat gandakan amal ibadat sempena bulan Ramadan.
 
Tanpa merujuk kepada krisis politik akibat pergelutan kuasa di dalam PKR secara langsung, baginda menekankan keperluan semua pihak mengenepikan ideologi politik masing-masing dan mempereratkan hubungan sesama ummah. 
 
"Sempena bulan Ramadhan yang mulia ini juga, beta berkenan bahawa seluruh rakyat terutamanya umat Islam agar melupakan sementara segala ideologi serta fahaman politik dan menumpukan sepenuhnya kepada amal ibadat serta bersatu padu dan mengukuhkan silaturrahim di antara satu sama lain agar mendapat faedah serta kebaikan daripada Allah," titah baginda.
 
PKR dan Pakatan Rakyat dilihat semakin berpecah belah susulan tindakan PKR mahu melantk Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar baru menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. 
 
Kedudukan Khalid kini ibarat 'telur dihujung tanduk' apabila beliau setakat ini hanya mendapat sokongan PAS Selangor namun dipinggirkan oleh PKR dan DAP. 
 
Khalid beberapa kali menzahirkan hasrat untuk tetap menjadi Menteri Besar Selangor sehingga tamat penggal keduanya. 
 
Selain itu beliau menegaskan sebarang pelantikan atau pengguguran jawatan berkenaan perlu dilakukan mengikut tatacara undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor.
 
Khalid dalam pada itu mendapat sokongan padu oleh salah satu komponen Pakatan iaitu PAS. 
 
Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Abdul Samad tegas mengingatkan PKR agar menghormati ketetapan PAS Selangor dan PAS Pusat yang masih mahukan Khalid sebagai Menteri Besar.

Tiada ulasan: