SHAH ALAM: Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan sahaja perlu meletakkan
jawatan sebagai Ketua Umum PKR tetapi juga sebagai Penasihat Ekonomi
Selangor.
Bekas Ketua Penerangan PKR, Ruslan Kassim berkata kritikan Anwar
sebelum ini terhadap pentadbiran Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid
Ibrahim jelas menggambarkan kegagalan beliau sendiri.
"Ternyata kalau Khalid gagal bermakna dia juga gagal, kalau kalau kena letak jawatan dia pun kena letak jawatan.
"Kritikan Anwar terhadap kegagalan Tan Sri Khalid di Selangor itu sebenarnya menggambarkan kegagalan beliau sendiri.
"Pertamanya itu calon dipilih oleh beliau sendiri dan yang kedua beliau
sendiri selaku Penasihat Ekonomi negeri Selangor apa yang dia nasihat,
apa yang diberi pandangan," tegasnya kepada Antarapos.
Justeru beliau sependapat dengan bekas timbalan Ketua Menteri 1 Pulau
Pinang Datuk Seri Mohd Fairus Khairuddin yang mahukan Anwar Ibrahim
meletakkan jawatan atas dakwaan kegagalan besar menguruskan parti.
"Jadi, jelas kepada kita sekarang ini bahawa walaupun cita-citanya
besar nak jadi PM Malaysia tetapi pengurusan parti yang sebesar itu pun
tak selesai.
"Pemilihan peringat cabang-cabang pun penuh dengan penipuan, penuh
dengan perkara yang pelik-pelik dengan berlakunya blackout, baling
kerusi, pengurungan orang-orang, pengundi hantu," jelasnya.
Bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Datuk Seri Mohd Fairus
Khairuddin sebelum ini berkata selain Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim,
Datuk Seri Anwar Ibrahim juga perlu didesak meletakkan jawatan atas
dakwaan kegagalan besar menguruskan parti.
Malah beliau menegaskan Ketua Umum PKR itu dan pimpinan PKR lain perlu
mengambil langkah itu kerana apa yang berlaku dalam parti jauh lebih
memalukan berbanding pentadbiran negeri.
Malah, beliau berkata apa yang berlaku kini adalah refleksi daripada kepimpinan dan kejayaan Anwar Ibrahim.
"Memang saya setujulah dengan apa yang dia kata itu, maknanya apa yang
sedang berlaku sekarang ini adalah refleksi daripada kepimpinan dan
kejayaan Anwar Ibrahim," ujarnya.
"Jadi, apa yang selama ini dia tuduh SPR, BN buat itulah sebenarnya
yang dibuat. Jadi, pada saya kepimpinan PKR tak ubah seperti kokok
(ayam) yang berderai-derai ekornya bergelumang dengan taik maknanya
mengata dulang paku serpih mengata orang dia yang lebih," katanya.
Kedudukan Khalid sebagai Menteri Besar tergugat apabila beliau dilihat
semakin hilang sokongan wakil rakyat PKR selain dikecam oleh pemimpin
DAP kerana gagal menangani beberapa isu seperti masalah air dan
pembinaan lebuhraya KIDEX.
Antara kelemahan Khalid yang paling ketara adalah kegagalan beliau
menangani isu rampasan Bible berbahasa Melayu dan Iban daripada
Persatuan Bible Malaysia (PBM) yang berlarutan selama enam bulan.
Pada masa sama, suara-suara semakin lantang dalam PAS Selangor yang
bersetuju supaya Khalid berundur kerana sering membuat keputusan yang
membelakangkan pendirian Pakatan Rakyat.
Kerjaya politik Khalid semakin malap apabila beliau gagal
mempertahankan jawatannya sebagai Ketua Cabang Kuala Selangor pada
pemilihan parti itu.
Beliau tewas kepada bekas Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan