MALAYSIAKINI
Pergerakan Pemuda Umno Johor meminta agar caj permit kenderaan asing
dari Singapura ke Malaysia yang dicadangkan, dikaji semula memandangkan
kadar cadangan sebanyak 20 dolar Singapura (lebih kurang RM50) bagi
setiap kenderaan asing agak rendah.
Ketua Pemudanya Hahasrin Hashim berkata kadar itu harus dinaikkan kepada
RM100 berikutan kedudukan mata wang Singapura lebih tinggi berbanding
nilai mata wang tempatan.
"Selain itu, harga barang di negara ini yang murah berbanding di negara
mereka juga perlu diambil kira apatah lagi ada ketikanya rakyat
Singapura juga menikmati harga barang yang telah disubsidi oleh
kerajaan," katanya dalam kenyataan.
Hahasrin juga menyambut baik cadangan agar sebahagian daripada hasil
levi diserahkan kepada kerajaan negeri untuk dibelanjakan bagi tujuan
penyelenggaraan infrastruktur di negeri itu.
Kerajaan negeri sehingga kini masih belum mendapat maklum balas daripada
kerajaan pusat sejak cadangan untuk mengenakan kadar SG$20 kepada
kenderaan asing yang memasuki Malaysia melalui tambak Johor diserahkan
lima bulan lepas.
Hahasrin berkata menerusi kutipan levi itu, ia bukan setakat memberi manfaat buat rakyat Johor malah seluruh Malaysia amnya.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan