Alif Mustapha
KUALA LUMPUR - Para usahawan wanita berpeluang untuk menambah
pendapatan dalam usaha memasarkan produk mereka hanya dengan menggunakan
kenderaan masing-masing sebagai tapak kedai tanpa dikenakan sebarang
bayaran sewa.
Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Ikhtisas Wanita Datuk Seri
Shahrizat Abdul Jalil berkata, pendekatan yang julung kali diadakan ini
adalah antara inisiatif kementerian di bawah Jabatan Perdana Menteri
bagi membantu kaum hawa ini.
"Ini merupakan program pertama di bawah jenama Pasarnita ini dan kita
menggalakkan wanita yang ingin berniaga tetapi tiada modal. Kita
menerima respon 'meletup' apabila ramai yang datang memohon.
"Keistimewaannya ialah ia percuma, daftar dengan kereta dan disitulah
tapak kedai mereka," katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan
di lokasi jualan di Jalan Wangsa Delima, Wangsa Maju di sini hari ini.
Hadir sama Ahli Parlimen Setiawangsa Datuk Ahmad Fauzi Zahari.
Dalam masa sama Shahrizat turut berharap agar program seperti ini dapat
diteruskan dimasa-masa akan datang sekiranya terus mendapat permintaan
menggalakkan daripada orang ramai.
"Kita juga menggalakkan jualan barangan lama dan terpakai seperti baju,
pakaian, kasut dan sebagainya. Jika program ini terus berjaya, mungkin
kita adakan pada setiap bulan atau setiap minggu," ujar beliau.
Sementara itu Ahmad Fauzi memberitahu, tapak jualan ini akan ditempatkan
di suatu kawasan lain sekiranya ia ingin dijalankan dengan lebih kerap.
Terdapat kira-kira 160 orang usahawan kecil wanita termasuk dikalangan
artis yang terlibat dengan 'Car Booth Sale' ini. Program ini juga telah
menerima kerjasama daripada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Jualan satu hari ini mula beroperasi pada pukul 9 pagi hingga 3 petang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan