KUALA LUMPUR - Menteri Pengangkutan yang baharu, Datuk Seri
Liow Tiong Lai menegaskan Malaysia masih komited dengan misi mencari
pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang dan akan meneruskan misi
itu.
Liow berkata, beliau akan ke China dan Australia bermula minggu depan
untuk bertemu rakan sejawat beliau dan membincangkan misi mencari itu.
"(Menteri Pertahanan) Datuk Seri Hishammuddin Hussein sudah mengumumkan
yang kami akan mengerahkan aset baharu ke kawasan baharu pencarian, oleh
itu saya akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Yang Chuantang
(Menteri Pengangkutan China) minggu depan untuk bincangkannya," katanya
kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Diploma 2014
Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TARC) di sini, hari ini.
Liow berkata, beliau akan berlepas ke China selepas mengumpulkan semua
maklumat daripada pegawai relevan di sini dan kemudian akan melawat
Australia untuk mengadakan pertemuan dengan wakil dari ketiga-tiga
negara untuk membincangkan tindakan seterusnya bagi misi mencari.
Pada 26 Jun, seorang pegawai Australia mengumumkan kawasan baharu misi
pencarian pesawat MH370 akan dipindahkan lebih jauh ke selatan di
selatan Lautan Hindi, dengan misi itu dijangka dijalankan bagi tempoh
kira-kira setahun.
Lokasi baharu itu, bagaimanapun masih dalam lingkungan kawasan pesawat
Boeing 777-200 itu yang dalam perjalanan ke Beijing dengan membawa 239
penumpang dan anak kapal, kali terakhir berhubung dengan satelit
Inmarsat sebelum hilang pada 8 Mac, kira-kira sejam setelah berlepas
dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Terdahulu, Liow yang juga Pengerusi Lembaga Gabenor dan Pemegang Amanah
TARC menyampaikan diploma kepada sebahagian daripada 3,326 graduan TARC
dengan 48 daripada mereka merupakan pemenang anugerah Book Prize Award.
Menurutnya, TARC kini menawarkan program ijazah selepas dinaikkan status
kepada kolej universiti pada Mei 2013 dan akan lebih fokus kepada
pengajian teknikal dan vokasional.
"Sebagai sebahagian pelan pendidikan MCA, kami berharap untuk membantu
profesional dengan mengeluarkan lebih banyak graduan dalam bidang
teknikal dan vokasional," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan