MALAYSIAKINI
Sebanyak 13 buah bas termasuk sebuah bas sekolah musnah dalam kebakaran
di depoh simpanan bas di Jalan Kota Kecil, Kota Tinggi, awal pagi ini
dengan kerugian dianggarkan RM600,000.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi, Ahmad Amat
berkata kejadian yang berlaku kira-kira 4 pagi itu disedari oleh orang
awam yang melalui kawasan berkenaan.
"Daripada 13 buah yang terbakar, 12 merupakan bas kilang manakala sebuah
lagi bas sekolah. Yang rosak sepenuhnya adalah tujuh buah, manakala
selebihnya terbakar di bahagian cermin, belakang dan depan bas sahaja.
"Tiada mangsa terlibat dalam kebakaran itu," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Menurut beliau, dua buah jentera bersama-sama 10 anggota digerakkan ke
tempat kejadian setelah menerima panggilan kecemasan daripada orang awam
kira-kira pukul 4.26 pagi.
"Kami mengambil masa hampir sejam untuk memadamkan sepenuhnya kebakaran," katanya sambil menambah punca kejadian masih disiasat.
Sementara itu, pemilik bas berkenaan, Gaiganesh Ramakrishnan, 35, yang
dihubungi berkata dia dimaklumkan tentang kejadian itu melalui panggilan
telefon oleh seorang polis peronda kira-kira 4 pagi ketika dia sedang
nyenyak tidur.
Gaiganesh, yang tinggal di Taman Kota Jaya, Kota Tinggi, berkata bas
berkenaan dimiliki keluarganya sejak 40 tahun lalu untuk disewakan.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan