ROS ROS
 
 
SHAH ALAM - Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) hanya boleh mengiktiraf jawatan Setiausaha Agung MIC yang baharu, Datuk G.Kumar Aaman selepas Presiden MIC mengemukakan surat pelantikan itu.

Ketua Pengarah ROS, Mohammad Razin Abdullah berkata, sehingga kini, pihaknya tidak menerima sebarang surat daripada G Palanivel mengenai pelantikan itu sebelum pertemuan empat mata dengan Kumar.

"Sehingga kini, pihak MIC masih belum memaklumkan mengenai pelantikan tersebut. Namun begitu, ROS tiada halangan untuk mengadakan perjumpaan dengan beliau tetapi bukan atas kapasitinya sebagai Setiausaha Agung.

"Untuk tujuan tersebut, beliau telah pun diminta untuk mengemukakan surat daripada Presiden sebelum tarikh temu janji ditetapkan. Sehingga ke tarikh mogok ini diadakan, ROS masih lagi belum menerima surat tersebut," katanya dalam satu kenyataannya, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Krisis MIC: Mogok lapar bukan budaya Malaysia]

Beliau berkata demikian mengulas tindakan Kumar yang mengadakan mogok lapar di depan ibu pejabat ROS di Putrajaya, hari ini sehingga dibenarkan bertemu dengan ketua pengarahnya berhubung statusnya sebagai Setiausaha Agung MIC.

Dalam pada itu, Mohammad Razin juga menafikan dakwaan bahawa pegawai siasatan ROS yang menjalankan kes itu melakukan penyelewengan.

"Siasatan dijalankan adalah sangat telus selaras dengan kehendak Akta Pertubuhan 1966 yang berasaskan fakta dan keterangan.

"Semua maklumat tersebut diperolehi daripada semua pihak yang berkaitan, termasuklah dari pihak Jawatankuasa Pemilih yang terlibat dalam proses pengendalian pemilihan ini," katanya lagi.

Akhir tahun lepas, ROS mengarahkan MIC mengadakan pemilihan semula bagi 23 anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) dan tiga naib presiden dalam tempoh 90 hari kerana terdapat dakwaan berlaku penyelewengan dan pelanggaran perlembagaan parti serta Akta Pertubuhan.