Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohamed Azhar
KUALA KRAI: Di kala mangsa-mangsa banjir di Kelantan sedang mencari
kekuatan untuk memulakan kehidupan yang baru, terselit sekelompok
manusia yang gemar menangguk di air yang keruh.
Sebelum ini wujud dakwaan kononnya bukan mangsa-mangsa banjir turut
mendapat bantuan yang disalurkan oleh pihak kerajaan, pertubuhan bukan
kerajaan (NGO) dan sukarelawan.
Tinjauan Antarapos baru-baru ini ke negeri Cik Siti Wan Kembang itu
berjaya merungkai dakwaan tersebut dan diakui oleh salah seorang
penduduk di Kampung Manek Urai Lama, Kuala Krai.
Roznah Zulkifli, 41 tahun menceritakan peristiwa bagaimana bantuan yang
diperolehinya oleh sebuah NGO tiba-tiba sahaja dirampas oleh mangsa
banjir yang lain.
“Ada orang bantuan hulurkan beras, dan waktu itu saya memang pegang
beras itu tetapi tiba-tiba datang seorang lelaki rebut beras tersebut
dari tangan saya. (Balik rumah) saya cerita dengan suami saya, sanggup
lelaki itu berebut dengan seorang perempuan demi bantuan begitu,"
katanya ketika ditemui pemberita baru-baru ini.
Bukan itu sahaja, Roznah mendakwa menjadi mangsa ketamakan sesetengah
pihak luar yang turut mengambil kesempatan masuk ke kampungnya
semata-mata mahu mendapatkan bantuan-bantuan seperti dapur memasak,
beras, minyak masak, air mineral, gula dan sebagainya. 
Ini dibuktikan bagaimana ahli-ahli keluarga daripada salah seorang
jiran di hadapan rumahnya datang ke kampungnya atas tujuan yang
menyimpang itu.
Sedangkan mereka bukan penduduk di kawasan berkenaan.
“Adik-beradik mereka yang duduk jauh-jauh semua pun dapat barang
bantuan, sedangkan bantuan itu diberikan kepada mangsa yang rumahnya
rosak dan hanyut. Orang bantuan beri bantuan dapur, mereka ambil, bagi
makanan pun mereka ambil.
"Penuh kereta mereka dengan barang bantuan. Dua, tiga hari kemudian
datang lagi, sampai ke hari ini. Kita perhati sajalah, nak buat macam
mana.
"Mereka ambil hak orang lain, kita berdakwah belajar agama setinggi
mana pun, kita tahu hak orang lain tidak boleh ambil. Tetapi mungkin
Allah nak uji mereka, setara mana kuat iman mereka," ujarnya lagi.
Malah ibu kepada enam anak itu berkata ada juga yang menjual barangan
bantuan yang diperolehi secara 'haram' itu kepada mangsa-mangsa banjir
yang terdesak untuk mendapatkan sumber makanan.
Lebih lanjut, Roznah mengakui ada juga jiran sekampungnya bersikap tamak dan mementingkan diri sendiri.
“Jiran sebelah rumah saya kata, jiran hadapan rumah mengaku peti ais
saya ini miliknya. Sedangkan jelas peti aisnya lain daripada kepunyaan
saya.
"Kalau macam inilah, semua barangan yang dihanyutkan air banjir dia
mengaku dia punya sajalah. Sedangkan saya tahu itu peti ais saya sebab
di dalamnya ada botol ubat anak saya," katanya.
Mereka perlu kembali kepada fitrah kejadian setiap insan, sebagaimana
yang ditegaskan oleh ADUN Manek Urai, Mohd Fauzi Abdullah.
“Perkara ini tak sepatutnya berlaku di kala kita sedang menerima bala
daripada Allah SWT supaya kita insaf dan kembali ke jalan yang benar.
Mereka yang menyamar ini makan benda yang haram, hak orang lain.
"Daging yang haram ini, sebagaimana Allah SWT kata, akan menjadi
seketul daging dan akan dibakar oleh Allah SWT," demikian menurutnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan