HALAMAN SANTAI

Rabu, 7 Januari 2015

DAP mahu kerajaan audit peruntukan banjir

ANTARAPOS.COM


Post Pic

 
 
SHAH ALAM: Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang menggesa kerajaan menjalankan audit secara terperinci terhadap peruntukan RM800 juta yang dibelanjakan bagi membantu mangsa banjir.
 
Ujarnya rakyat Kelantan berhak mengetahui ke mana peruntukan bantuan tersebut disalurkan memandangkan negeri itu yang paling teruk terjejas akibat banjir.
 
Katanya selepas turun padang dilakukannya di negeri tersebut, beliau mendapati ia tidak mencerminkan menerima peruntukan besar sepertimana dilaporkan.
 
"Saya melawat Kota Baru sebanyak tiga kali, ke Kuala Krai dua kali, malah pergi ke kawasan 'ground zero' di Manek Urai dan juga Gua Musang.
 
"Saya langsung tidak merasakan sejumlah RM500 ke RM600 juta dibelanjakan di Kelantan untuk membantu mangsa banjir," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
 
Semalam Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan dilaporkan berkata hampir RM800 juta dibelanjakan kerajaan menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi membantu mangsa banjir di negeri yang terbabit musibah itu baru-baru ini.
 
Peruntukan berkenaan membabitkan pembekalan makanan, operasi logistik dan pembersihan rumah mangsa.
 
Sehubungan itu, beliau menggesa Ahmad mendedahkan jumlah RM800 juta yang dibelanjakan di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak secara terperinci.
 
"Kita tidak boleh terlalu berjimat dalam usaha membantu mangsa banjir, namun kita juga tidak boleh membazir walau satu sen pun. 
 
"Semua perbelanjaan kerajaan dalam menangani bencana banjir ini mestilah memberi manfaat langsung kepada mangsa dan bukannya usahawan, kroni dan pihak yang cuba membuat untung daripada bencana ini," katanya.
 
Susulan laporan peruntukan RM800 juta untuk bencana banjir oleh kerajaan, Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Malaysia (PAC) Datuk Nur Jazlan Mohamed akan memanggil MKN bagi memperincikan jumlah tersebut.
 
Memetik The Malaysian Insider, Jazlan berkata jumlah itu besar dan memerlukan ketelusan dalam cara menguruskannnya.
 
"Isunya sekarang ialah mengenai bajet tambahan ini. Banyak pihak akan mempersoalkan mengapa kerajaan tidak boleh buat bajet yang tepat.
 
"PAC cuma panggil bagi mengetahui sama ada bajet tambahan ini betul-betul berhemah dan telus," katanya.

Tiada ulasan: