Oleh: HAFIZAN TAIB
SHAH ALAM: Ramai pihak menganggap
pelarasan harga baharu bahan bakar oleh kerajaan mulai Selasa lalu
sebagai langkah yang memberi manfaat kepada pengguna.
Mahfuz Mahmood, 28, dari Putrajaya,
berkata langkah itu sedikit sebanyak membantu dirinya menjimatkan
belanja, seraya membolehkan beliau mengagihkan lebihan wang untuk
kegunaan lain.
“Soal dakwaan Persatuan Peniaga Petrol
Malaysia mengalami kerugian, saya berpandangan ia mungkin tidak ketara
dan tentunya kerajaan akan meneliti perkara ini supaya golongan terbabit
tidak terbeban,” katanya.
Chia Sih Lin, 33, dari Shah Alam,
berkata dakwaan persatuan itu mungkin benar kerana harga bahan bakar
adalah harga yang dikawal.
Beliau merasakan situasi menang-menang untuk
kedua-dua pihak perlu diwujudkan.
“Sebaiknya kepentingan kedua-dua pihak dijaga dalam perkara ini,” katanya.
Bagaimanapun bagi Nasaruddin Aris, 50,
dari Kota Damansara, harga yang diumumkan kerajaan hanyalah harga baharu
dan tidak boleh dianggap sebagai turun harga.
“Namun bila berbelanja membeli petrol, ia membawa kebaikan dan memberi manfaat kepada pengguna seperti saya,” katanya.
Berbicara isu kerugian yang ditanggung
pengusaha petrol, Nasaruddin berkata hal itu perlu diselidik mengikut
ketetapan ‘Free On Board’ (harga invois memasukkan caj meletakkan
barangan di atas kapal yang berlabuh di pelabuhan berlepas yang
ditetapkan oleh pembeli, berserta kos insuran keatas barangan dari
kilang asal ke pelabuhan itu) dan kos yang berkaitan.
“Dari situ baru kita boleh menilai sama ada mereka menghadapi kerugian atau sebaliknya,” katanya.
Presiden Persatuan Peniaga Petrol
Malaysia, Hashim Othman sebelum ini dalam satu laporan media berkata
pengusaha petrol berhadapan kerugian diantara RM20,000 hingga RM100,000
kesan daripada penurunan harga minyak.
Berkuatkuasa 1 Januari lalu, Kerajaan
Persekutuan mengumumkan harga runcit bagi RON95 ditetapkan pada RM1.91
seliter, RON97 pada RM2.11 seliter manakala diesel berharga RM1.93
seliter.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan