HALAMAN SANTAI

Rabu, 7 Januari 2015

Kerajaan Pusat dan Negeri Kelantan Perlu Kerjasama Demi Rakyat - Hishammuddin

Syafiq Yaacob


alt
 
 
 
SUBANG  - Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menjelaskan perlu wujudnya kerjasama di antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri Kelantan dalam menguruskan proses pemulihan pasca-banjir.
 
Hishammuddin berkata, ianya perlu bagi memastikan bantuan kerajaan pusat dapat dinikmati oleh mangsa-mangsa banjir selain memudahkan urusan pembaikpulihan rumah-rumah yang terjejas teruk akibat bencana tersebut.
 
"Ianya perlu, tetapi kita perlu tengok samada ia dapat dilaksanakan atau tidak.
 
"Penting untuk kerajaan negeri membantu kita(kerajaan pusat) mengenalpasti tanah-tanah yang boleh dibangunkan bagi tujuan penyediaan perumahan jangka masa sederhana dan panjang.
 
"Tanpa kerjasama dengan kerajaan negeri, mustahil sumbangan yang ditawarkan kerajaan pusat untuk membina rumah dapat dilakukan kerana hak dan tanggungjawab berhubungkait dengan hak milik tanah berada dalam tangan kerajaan negeri," katanya kepada pemberita dalam sidang media di pusat pengumpulan bantuan banjir di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), di sini, hari ini.
 
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengadakan pertemuan tertutup dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob di pejabat menteri besar di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, Kelantan.
 
Muhyiddin tiba pada pukul 12.30 tengah hari dan dipercayai pertemuan itu diadakan berkaitan dengan bencana banjir besar yang berlaku di negeri ini baru-baru ini.
 
Turut hadir dalam pertemuan kira-kira 50 minit itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Khas Bencana Banjir Negeri Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Thajudeen Abdul Wahab.
 
Sementara itu, Pas turut menyatakan kesediaan bekerjasama dan kesediaan untuk mengetepikan agenda politik masing-masing demi membantu rakyat Kelantan yang terjejas teruk akibat banjir besar yang melanda negeri tersebut baru-baru ini.
 
Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, kerjasama dua parti politik itu telah terjalin melalui penubuhan Jawatankuasa Bencana Banjir Kelantan pada 26 Disember lalu.
 
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas memberitahu, inisiatif itu selaras dengan hasrat rakyat yang mahu melihat UMNO dan Pas berganding bahu dalam menyelesaikan masalah banjir di Kelantan.

Tiada ulasan: