HALAMAN SANTAI

Khamis, 22 Januari 2015

Mansuh PLKN, bukan tangguh – AMK

Oleh Amirul Azhan


KUALA LUMPUR : Angkatan Muda KEADILAN (AMK) menegaskan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) perlu dimansuh bukan ditangguh.

Pengarah Strateginya, Akmal Nasir berkata, pemansuhan tersebut perlu kerana bertepatan dengan kritikan Pakatan Rakyat sebelum ini bahawa kerajaan tidak patut berbelanja besar dengan mengamalkan defisit berterusan serta terlalu bergantung kepada hasil minyak.

plkn

“AMK menggesa agar PLKN bukan sahaja ditangguh tetapi terus dimansuhkan oleh kerajaan memandangkan semua modul latihannya boleh dijalankan pihak sekolah dan universiti.

“Ini jelas menunjukkan betapa lemahnya fokus pendidikan negara kerana semua kebaikan yang boleh didapati melalui PLKN boleh juga dicapai jika dikendalikan oleh pihak lain (sekolah dan universiti) pada kos yang lebih rendah,” kata Akmal pada kenyataan.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semasa mengumumkan semakan Belanjawan 2015 berkata, penangguhan PLKN bagi sesi 2015

sebagai langkah penjimatan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM400 juta dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi disebabkan kejatuhan harga minyak dan nilai ringgit.

Akmal berkata, jumlah RM400 juta ini mencakupi satu perlima hingga satu perempat jumlah Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional

(PTPTN) setahun atau menampung kos pinjaman sebanyak RM15,000 kepada lebih 25,000 pelajar universiti setiap tahun.

“Peruntukan ini juga boleh digunakan untuk menyediakan pelbagai bentuk latihan kemahiran kepada anak muda yang tidak terpilih

melanjutkan pengajian ke IPT atau memastikan semua sekolah di seluruh negara mempunyai kemudahan asas yang lengkap,” jelas beliau.

Katanya, kerajaan harus memperjelaskan mengapa perbelanjaan tahun-tahun tertentu lebih tinggi sehingga mencecah RM700 juta sedangkan

kerajaan menyatakan penjimatan sebanyak RM400 juta dengan penangguhan tersebut.

Menurut Akmal, kos RM5,283 bagi seorang peserta adalah terlalu tinggi. Ini berdasarkan data sejak PLKN mula diperkenalkan pada 16

Februari 2004 dengan seramai 832,712 peserta dan anggaran perbelanjaan sebanyak RM400 juta setahun (meskipun ada tahun-tahun di mana perbelanjaannya lebih tinggi).

“AMK yakin jenis latihan yang sama boleh disediakan pada kadar harga lebih rendah. Oleh itu, AMK menggesa semua kontraktor yang

terlibat dalam menyediakan bekalan untuk PLKN ini dapat didedahkan kepada umum,” ujarnya.

Tiada ulasan: