HALAMAN SANTAI

Khamis, 1 Januari 2015

Penduduk Kg Tanjung Tokong tuntut UDA kekal kampung tradisi

ANIS NAZRI 


KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) digesa kembali merujuk peranan utama agensi itu ditubuhkan sejak 1971 dalam memastikan perkampungan tradisi Melayu dikekalkan.

Ia berikutan kebanyakan projek yang dibangunkan UDA Holdings didakwa mengetepikan dan menyisihkan penduduk asal di beberapa buah kampung tradisi dan warisan Melayu di seluruh negara.

Menurut Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Tanjung Tokong, Mohd Salleh Yahya, Kampung Tanjung Tokong turut menerima tempiasnya apabila UDA Holdings telah mengambil alih kawasan perkampungan tersebut bagi tujuan pemulihan, penyusunan semula kampung tradisi tersebut.

Bagaimanapun, kata beliau pembangunan yang dijalankan setakat ini tidak mengekalkan tradisi yang ada di kampung tersebut, sebaliknya memusnahkan segala tinggalan tradisi yang ada.

Dalam pertemuan di pejabat Harakah, hari ini, Mohd Salleh berkata pembangunan yang dilakukan UDA bukan setakat memusnahkan bangunan tradisi yang terdapat di Kampung Tanjung Tokong, malah penduduk kampung juga terpaksa berdepan dengan saman UDA atas tuduhan mereka merupakan penduduk setinggan.

"Yang kita perlu tahu, Kampung Tanjung Tokong ini telah dibuka oleh orang Melayu sebelum ketibaan Kapten Francis Light lagi. Namun, sejarah hanya mengatakan Francis Light yang membuka kampung tersebut," tegas beliau.

Tambah Mohd Salleh, pada 20 November lalu, pihaknya telah membuat pertemuan dengan pihak UDA bagi membincangkan isu ini, namun tiada tindakan susulan selepas pertemuan tersebut.

Menurutnya, pada pertemuan tersebut Pengarah Urusan UDA Holding, Datuk Ahmad Abu Bakar bersetuju membenarkan kewujudan 1.6 hektar (3.778 ekar) tanah yang berbaki untuk dibangunkan kampung warisan Melayu yang tersusun dalam Fasa 4B.

"Bagaimanapun, persetujuan itu hanya melalui perbincangan tersebut, tanpa sebarang surat rasmi yang mengesahkan tanah itu akan dibangunkan dengan mengambil kira faktor tradisi kampung tersebut," kata beliau.

UDA telah menjalankan tiga fasa pembangunan iaitu pembinaan rumah pangsa empat tingkat di fasa 1, rumah pangsa enam tingkat di fasa 2, serta rumah pangsa lima tingkat di fasa 3 - yang membabitkan 26 ekar tanah daripada 48 ekar keluasan seluruh kampung tersebut.

Yang dapat dilihat daripada pembangunan itu, kata Salleh ia merupakan pembangunan fizikal semata-mata dengan tiada sebarang kesinambungan daripada bangunan tradisi yang masih ada di kampung itu yang telah wujud sejak 250 tahun lalu.

Menurut beliau, antara bangunan tradisi yang masih ada di kampung itu, termasuklah rumah penduduk itu sendiri, selain sebuah madrasah dan sebuah kelab Melayu yang dikira antara yang tertua di Pulau Pinang.

Dalam pada itu, Salleh berkata pihaknya turut mengemukakan cadangan balas kepada UDA untuk mengambil kira pembangunan semula yang mengekalkan tradisi kampung tersebut dengan rumah-rumah memasukkan unsur-unsur kebudayaan yang kaya dengan keseniannya.

Pengekalan unsur tradisi itu juga, katanya perlu dilakukan pada pembangunan Kelab Setia Tanjong Tokong, yang merupakan tapak budaya untuk permainan rakyat seperti takraw dan seni silat Melayu Pulau Pinang.

Justeru, beliau berharap pihak UDA berpegang pada janji untuk mengekalkan konsep tradisi Melayu untuk 1.6 hektar dalam pembangunan terancang dalam fasa 4B.

Selain Salleh, turut serta dalam pertemuan dengan Pengarah Urusan Harakah, Dr. Rosli Yaakop, ialah Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah, Peneroka Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli PAS Pusat, Mazlan Aliman, Penasihat Profesional, Mustafa Yahya yang juga seorang pemaju, Pegawai Perhubungan persatuan penduduk, Abdullah Yahya dan Penasihat Media, Ismail Hashim. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: