Oleh: Fiza Halim
PETALING JAYA - Tindakan memenjarakan dua blogger pro Pakatan adalah zalim dan bukti kerajaan mengekang kebebasan bersuara, kata Penyelaras NGO Jingga 13, Fariz Musa.
Fariz berkata, kedua-dua blogger berkenaan – Amizuddin Ahmat dan Yusul Al Siddique dihukum hanya kerana menyiar artikel di blog mereka.
“Kita merasa amat kesal dan tindakan memenjarakan Amizuddin Ahmat adalah satu tindakan zalim.
Menganiaya beliau adalah tidak wajar sehingga memenjarakannya selama tiga bulan.
“Yang terbaru Yusuf Al – Siddique akan dijatuhi hukuman penjara maksimum dua tahun di bawah seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan, yang dikatakan menimbulkan ketakutan ketika menulis tentang pencerobohan di Sulu,
“Ini juga satu pertuduhan yang jelek,” tegasnya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, di Petaling Jaya hari ini.
Amizuddin Ahmat pada 8 Januari lalu dipenjara tiga bulan kerana menghina mahkamah berhubung artikel memfitnah bekas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Tan Sri Dr Rais Yatim.
Manakala 19 Januari lalu, Yusuf Al Siddique yang juga pengendali blog “Milosuam” dipenjara dua tahun kerana memuat naik sebuah artikel berhubung pencerobohan Sulu di Sabah, namun mahkamah membenarkan hukuman ditangguh sementara menunggu rayuan.
Fariz dalam pada itu kesal dengan tindakan pegawai penjara Kajang melayan Amizuddin seperti penjenayah meskipun blogger itu tidak mengancam keselamatan negara.
“3 Januari semasa ditangkap, beliau dibawa ke sebuah sel bersama sembilan orang penjenayah dengan bilik tiada lampu, tiada air dan makanan yang selayaknya diberikan kepada kucing dan anjing.
“Keesokannya beliau dipindahkan ke Block INSAF yang bersebelahan dengan bilik hukuman gantung sampai mati namun tiada bekalan air juga.
“Selepas itu dipindahkan lagi ke blok RSD (Klinik Penjara), diasingkan atas kategori keselamatan dan keseorangan, namun dengan keadaan yang daif ini beliau berpuasa pada setiap isnin walaupun dihidangkan dengan biskut kering dan air paip,” jelasnya dalam nada kesal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan