MALAYSIAKINI
Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menggesa kerajaan menyegerakan
penubuhan Mahkamah Rayuan Khas Syariah Negeri-Negeri dan Wilayah-Wilayah
Persekutuan bagi memberi lebih peluang kepada pihak yang tidak berpuas
hati merayu ke peringkat yang lebih tinggi.
Presidennya Musa Awang berkata dengan penubuhan Mahkamah Rayuan Khas
Syariah, ia akan membuka peluang lebih luas kepada peguam syarie di
negara ini memandangkan perkhidmatan guaman syarie ketika ini amat
terbatas berbanding peguam sivil.
Beliau berkata dengan adanya mahkamah itu juga ia mampu mempertingkatkan
lagi penzahiran usaha-usaha kerajaan dan negeri-negeri terhadap
kedudukan, kemuliaan dan keistimewaan institusi Raja-Raya Melayu dan
institusi-institusi pengurusan agama Islam.
"Oleh itu kita (PGSM) mahu kerajaan memberikan tarikh tepat bila
Mahkamah Rayuan Khas Syariah ini akan ditubuhkan kerana orang ramai
sering bertanya kepada persatuan mengenai mahkamah ini," katanya ketika
dihubungi Bernama hari ini mengenai perkembangan cadangan penubuhan
mahkamah itu.
Beliau berkata kertas cadangan itu kini berada di Jabatan Kehakiman
Syariah Malaysia di Putrajaya dan cadangan penubuhannya telah mendapat
persetujuan daripada jemaah menteri pada 23 Disember 2009.
Menjelaskan mengenai mahkamah itu, Musa berkata sejak merdeka lagi
hierarki prosiding rayuan bagi kes bermula di Mahkamah Tinggi Syariah
hanya boleh dirayu ke Mahkamah Rayuan Syariah iaitu satu peringkat
sahaja, sedangkan bagi kes bermula di Mahkamah Rendah Syariah, keputusan
boleh dirayu melalui dua peringkat iaitu ke Mahkamah Tinggi dan Rayuan.
"Berbeza dengan sistem rayuan di Mahkamah Sivil, setiap kes bermula di
Mahkamah Tinggi boleh dirayu ke Mahkamah Rayuan dan seterusnya ke
Mahkamah Persekutuan. Keadaan ini menggambarkan ketidakseimbangan dalam
proses keadilan di Mahkamah Syariah," katanya.
Oleh itu dengan adanya Mahkamah Rayuan Khas Syariah ini akan dapat
memberi keadilan kepada pihak yang tidak berpuas hati merayu ke
peringkat yang lebih tinggi dan ia juga akan menyelaraskan keputusan
undang-undang Islam di seluruh Malaysia, katanya.
Menurut Musa, penubuhan mahkamah itu tidak melibatkan sebarang pindaan
ke atas mana-mana Perkara, Jadual serta bahagian di dalam Perlembagaan
Persekutuan manakala bagi mahkamah Rayuan Khas Syariah Negeri pula hanya
melibatkan pindaan kepada undang-undang sedia ada yang terdapat dalam
Enakmen atau Ordinan Pentadbiran Undang-Undang Islam Negeri-Negeri.
Cadangan penubuhan mahkamah itu juga tidak mengurangkan kuasa Sultan,
Raja atau Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama, katanya.
Mengenai bidang kuasa mahkamah itu, Musa berkata mahkamah itu antaranya
mempunyai kuasa untuk memutuskan rayuan atau semakan terhadap keputusan
Mahkamah Rayuan negeri-negeri serta rujukan berhubung persoalan
undang-undang berkepentingan awam dan konflik bidang kuasa.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan