Pihak berkuasa Sabah juga melihat kebangkitan
ancaman Sulu sebagai tidak mustahil akan berlaku selepas Agbimuddin
mempunyai penggantinya
PETALING JAYA: Pencerobohan kumpulan bersenjata Sulu di Sabah tidak mustahil akan berlaku lagi walaupun ketua kumpulan tersebut yang terlibat dalam serangan di Lahad Datu pada 2013 telah meninggal dunia.
Pakar akademik Universiti Malaysia Sabah (UMS), Wan Shawaluddin Wan Hassan berkata, kematian Raja Muda Agbimuddin Kiram tidak mungkin mengurangkan ancaman keselamatan yang ditimbulkan kumpulan bersenjata itu.
Menurutnya, lelaki bersenjata tersebut yang sebahagian besarnya terdiri daripada keturunan Tausug dan mereka mungkin mahu membalas dendam terhadap kematian ahli kumpulan mereka dua tahun lalu, lapor mStar Online semalam.
“Mereka menghadapi kehilangan besar dan ia pertumpahan darah. Semuanya mengenai dendam dan saya tidak lihat kematian Agbimuddin akan mengubah apa-apa,” kata Wan Shawalluddin yang juga seorang pensyarah kanan di Fakulti Sains Sosial UMS.
Beliau berkata, sebahagian rakyat di selatan Filipina yang berketurunan Tausug itu melihat Malaysia sebagai satu kuasa penjajah yang menduduki Sabah yang mereka anggap masih wilayah nenek moyang mereka.
Wan Shawalluddin memberitahu kumpulan bersenjata Sulu ini mungkin menunggu masa yang sesuai untuk membalas dendam kepada Malaysia.
Dalam hal ini, beliau berkata pasukan keselamatan Malaysia perlu mengambil pendekatan yang sewajarnya untuk memantau keadaan di sepanjang pesisir pantai Sabah.
Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata pihak berkuasa melihat kebangkitan ancaman Sulu sebagai tidak mustahil akan berlaku selepas Agbimuddin mempunyai penggantinya.
Ketua pengganas yang mengetuai serangan di Lahad Datu, Sabah pada 2013, Agbimuddin Kiram dilaporkan meninggal dunia seminggu lalu, lapor portal berita Manila Standard Today (MST).
Menurut laporan itu, Agbimuddin meninggal dunia akibat serangan jantung di kediamannya di Simunul Tawi-Tawi. Turut dilaporkan, keluarga itu menamakan adik bongsu mereka, Datu Ahugdal Kiram, 68, sebagai pengganti Raja Muda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan