HALAMAN SANTAI

Sabtu, 24 Januari 2015

Zon waktu sama untuk ASEAN

 
Dengan adanya satu zon waktu bagi semua 10 negara Asean, pengurusan perniagaan menjadi lebih efisyen.


asean


PETALING JAYA: Menyatukan waktu jam negara ASEAN adalah antara cadangan yang akan dibincangkan ke arah merealisasi kewujudan Komuniti Ekonomi Asean.

Malaysia, selaku pengerusi Asean tahun ini, mencetuskan idea zon waktu serantau itu ke arah mewujudkan aktiviti perdagangan dan pelaburan yang lebih efisyen bagi semua negara anggota ASEAN.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar, berkata cadangan ini telah dibangkitkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam beberapa perbincangan.

“Kita cuba lontarkan secara awal sebelum kita berbincang dengan lebih lanjut. Jadi, ini perlu kajian lebih lanjut,” katanya kepada wartawan Malaysia di luar Forum Ekonomi Dunia (WEF) di DAVOS, Switzerland, lapor Berita Harian Online.

Beliau berkata, ia dibincangkan dalam sesi perbahasan Ke arah Pembentukan Komuniti Ekonomi ASEAN, anjuran stesen televisyen Channel News Asia (CNA) sempena WEF, semalam.

Wahid berkata, dengan adanya satu zon waktu bagi semua 10 negara Asean, pengurusan perniagaan menjadi lebih efisyen apabila Komuniti Ekonomi ASEAN diwujudkan kelak.

Selain itu, integrasi perbankan serantau dan penyelarasan standard juga dilihat sebagai ramuan penting menjayakan rancangan itu.

Menurut Abdul Wahid, beliau menekankan betapa pentingnya untuk mempercepatkan integrasi perbankan antara negara ASEAN dalam usaha meningkatkan perdagangan dan pelaburan di rantau ini, yang boleh dipelopori menerusi Rangka Kerja Perbankan ASEAN (Asean Banking Framework).

“Usaha Bank Negara Malaysia dan Bank Indonesia dalam menandatangani ‘heads of agreement untuk rangka kerja, membolehkan bank di kedua-dua negara mewujudkan atau memperluaskan aktiviti di negara lain,” katanya.

Beliau berkata, usaha dua bank pusat berkenaan diharap menjadi pencetus kepada usaha yang sama oleh negara ASEAN lain.

Mengenai keharmonian standard, Abdul Wahid berkata, penyelarasan membolehkan isu seperti piawaian dan makanan halal dapat diselesaikan.

“Jika gagal mengharmonikan isu-isu ini, sekurang-kurangnya kita boleh menggunakan konsep perjanjian pengiktirafan bersama.

“Ini akan membantu mempercepatkan lagi proses integrasi ekonomi ASEAN,” katanya.

Wahid berkata, semua berkenaan adalah antara intipati yang dibincangkan ketika mewakili Perdana Menteri dalam perbahasan yang disiarkan secara langsung itu.

Tiada ulasan: