KESESAKAN jalan raya walaupun pada hujung minggu di ibu kota itu perkara biasa di mata penulis.
Namun, apabila ambulans tersangkut dalam kesesakan jalan raya dan
pemandu kereta lain hanya buat tak tahu, itu suasana yang luar biasa.
Siren ambulans terus berbunyi tanpa henti dari arah belakang namun
gara-gara lorong untuk dua buah kereta dilalui oleh tiga buah kereta,
maka tiada ruang untuk ambulans tersebut 'menyelit'.
Menurut pemerhatian penulis sewaktu kejadian baru-baru ini, ambulans
tersebut sudah menanti laluan tersebut 'dibuka' kira-kira 15 minit namun
masih tiada kenderaan yang berusaha memberi jalan.
Memang diakui semua orang mahu tiba cepat ke destinasi masing-masing
namun, negara ini mempunyai undang-undang jalan raya yang wajib dipatuhi
bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Rupa-rupanya, pada tahun 2015 ini masih ada rakyat negara kita yang
bersikap endah tak endah dengan keadaan sekeliling meskipun ia
melibatkan nyawa orang lain.
Situasi ini hampir serupa apabila laluan kecemasan di
lebuhraya-lebuhraya tertentu disalahguna pemandu yang tidak
bertanggungjawab seperti yang dilaporkan sebelum-sebelum ini.
Jika situasi seumpama ini terlalu sering berlaku dan terus berulang, penulis bimbang ia akan mengancam nyawa pesakit.
Mungkin pihak berwajib wajar mencari jalan penyelesaian terhadap
suasana ini terutama di ibu kota yang popular dengan kesibukan
maksimanya walaupun pada hujung minggu.
Antaranya, mewujudkan laluan khas yang hanya boleh dilalui ambulans
ketika kecemasan seperti laluan khas untuk bas dan teksi yang telah pun
disediakan di beberapa kawasan.
Namun, dalam keadaan-keadaan terdesak mungkin anggota polis terutama
dari unit trafik boleh bertindak memainkan peranan mengawal jalan di
kawasan-kawasan sesak bagi memudahkan ambulans melaluinya tanpa
halangan.
Selain itu, kesedaran juga perlu dipertingkatkan kepada masyarakat
umum yang mungkin terlupa tentang sifat-sifat terpuji yang wajar
diterapkan dalam kehidupan seharian meskipun zaman semakin maju.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan