SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali menuduh dua wakil
rakyat Barisan Nasional (BN) melakukan plagiat kerana didakwa
mengemukakan soalan sama pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN)
Selangor.
Di awal ucapan penggulungan bagi usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan
Sultan Selangor, Azmin berkata ADUN Sg Burong dan Kuang didapati
'menciplak' soalan antara satu sama lain.
"Saya boleh faham sekiranya mereka menimbulkan soalan yang sama, tetapi
soalan yang mereka tanya dari skrip yang sama, kandungan yang sama dan
gaya penulisan yang sama," katanya.
Memetik laporan mStar Online, Azmin berkata soalan tersebut
dibangkitkan untuk mendapatkan jawapan daripada DUN Selangor mengenai
struktur pejabat Menteri Besar, fungsi dan struktur operasi standard
(SOP) berserta jumlah gaji dan elaun setiap kakitangan.
Kenyataan tersebut sekali gus membangkitkan rasa tidak puas hati Datuk
Rosni Sohar (BN-Hulu Bernam) yang menafikan bahawa soalan itu berbentuk
plagarisme kerana ia hanya ditulis secara spontan.
"Menteri Besar tidak sepatutnya memperbesarkan perkara ini. Sebagai
seorang MB, beliau boleh memilih untuk menjawab mana-mana soalan yang
dikemukakan ADUN yang beliau mahu," katanya.
Atas alasan itu, Azmin berkata beliau tidak masalah untuk menjawab
soalan tersebut tetapi menegaskan tidak tahu soalan yang mana satu untuk
dijawab sekali gus menyebabkan jawapan tersebut ditangguhkan.
"Saya tidak tahu sekiranya Umno menggunakan syarikat penyumberan luar
untuk mengemukakan soalan tersebut bagi pihak mereka. Tetapi sekiranya
mereka lakukan perkara itu, sekurang-kurangnya pastikan ia soalan yang
berbeza.
"Malah di universiti, pelajar yang didapati melakukan plagiat juga akan diambil tindakan terhadap mereka," katanya.
Datuk Shamsuddin Lias (BN-Sg Burong) kemudiannya tampil mempertahankan
diri dengan berkata perkara itu tidak seharusnya dijadikan isu.
"Apa salahnya memberikan francais kepada orang lain untuk mendapatkan
pandangan mereka? Tugas anda adalah untuk menjawab soalan yang
dikemukakan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan