BR1M 3.0
 
 
 
KUALA LUMPUR - Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) lebih baik daripada subsidi memandangkan ia lebih menumpukan kepada golongan sasar, kata Pengarah Eksekutif Pejabat Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd, Datuk Charon Wardini Mokhzani.

Beliau berkata subsidi lebih banyak menguntungkan golongan berkemampuan dan perniagaan berbanding dengan mereka yang memerlukan.

"Jika kita mahu membantu rakyat, lebih baik memberi wang tunai kepada mereka daripada subsidi kerana subsidi tidak diterima oleh mereka yang sepatutnya," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan siri ceramah CEO Korporat Muda Malaysia di sini, malam tadi.

Sementara itu, mengenai Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), beliau berkata  kesannya masih belum jelas sehingga kajian mengenainya dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan pada tahun depan.

Kira-kira 300 orang menghadiri siri ceramah bulanan itu yang menyediakan platform bagi ketua-ketua industri berkongsi pengalaman dengan golongan belia yang bercita-cita untuk mendaki tangga korporat. - Bernama