HALAMAN SANTAI

Rabu, 8 April 2015

Gagal pulang pampasan, tindakan mahkamah terhadap bekas pegawai MBI bermula

 OLEH JAMILAH KAMARUDIN


Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali berkata, kes itu masih dalam proses perundangan selepas mereka gagal memulangkan wang pampasan itu sebelum tempohnya tamat pada 19 Januari lalu. – Gambar fail The Malaysian Insider, 8 April, 2015. 
Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali berkata, kes itu masih dalam proses perundangan selepas mereka gagal memulangkan wang pampasan itu sebelum tempohnya tamat pada 19 Januari lalu. – Gambar fail The Malaysian Insider. 



Kerajaan negeri Selangor memulakan prosiding mahkamah terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pemerbadanan Menteri Besar (MBI), Faekah Husin dan tujuh lagi bekas pegawai kerana gagal memulangkan wang pampasan berjumlah RM2.6 juta, kata Mohamed Azmin Ali.

Menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang, Datuk Sulaiman Razak, Menteri Besar Selangor itu berkata hari ini, kes itu masih dalam proses perundangan selepas mereka gagal memulangkan wang pampasan itu sebelum tempohnya tamat pada 19 Januari lalu.

"MBI sedang memulakan prosiding mahkamah, dan mengambil tindakan mahkamah terhadap mereka, sebab mengikut rekod, pembayaran itu bercanggah dengan proses dan tatacara kewangan yang sepatutnya," katanya pada sidang DUN hari ini.


Katanya, MBI melalui peguam sudah memaklumkan kepada mereka yang terlibat supaya memulangkan semula bayaran pampasan yang diterima mereka dahulu berdasarkan tempoh diberikan, namun mereka gagal berbuat demikian. Selain Faekah, tujuh yang lain ialah Ketua Pegawai Operasi Rohani Talib, Setiausaha Akhbar Arfa'eza Abdul Aziz, Setiausaha Politik Mustafa Talib, Pegawai Penyelaras Rahimah Kamaruddin, Pegawai Komunikasi Khas Dr Sulaiman Masri, Pengurus Penyelidikan Ekonomi Abdul Halim Mohd Yusuf dan Pegawai Akhbar Tuan Nazuri Ismail.

Semuanya dikatakan menerima pampasan bernilai antara RM699,000 hingga RM114,870 yang diluluskan MBI pada hari terakhir Khalid berundur bagi memberi laluan kepada Azmin pada September tahun lalu.

Azmin pada 3 Januari berkata, MBI di bawah pengurusan baru memutuskan semua jumlah wang pampasan skim pemberhentian secara sukarela (VSS) yang diberikan kepada 8 bekas pembantu Khalid itu mesti dipulangkan.

Katanya, keputusan itu dibuat MBI setelah hasil siasatan mendapati bayaran pampasan itu jelas melanggar tatacara kewangan dan kontrak yang ditandatangani bersama.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri memberi tempoh 14 hari untuk wang tersebut dipulangkan dan MBI juga akan mengkaji semula wang pampasan baru terhadap 8 individu itu.

PKR memecat Khalid pada Ogos selepas beliau gagal menghadiri pendengaran jawatankuasa tatatertib berhubung dakwaan terhadapnya mengenai beberapa perkara termasuk penstrukturan semula industri air negeri, penyelesaian hutangnya dengan Bank Islam dan cadangan pembinaan Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex).

Ia terjadi di tengah-tengah kemelut jawatan menteri besar yang bermula awal tahun lepas, dengan kepimpinan PKR yang mahukan beliau berundur bagi memberi laluan kepada presiden parti Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Krisis itu berakhir apabila Sultan Selangor melantik Azmin yang merupakan timbalan presiden PKR, sebagai menteri besar yang baharu.

Tiada ulasan: