Galak lebih ramai pengunjung ke Jakel TIADA KESAN... Orang ramai tetap berpusu-pusu mengunjungi Gedung Tekstil Jakel di hari minggu walaupun GST berkuatkuasa sejak 1 April.


 
JAKEL Trading Sdn Bhd (Jakel) tiada masalah menurunkan harga produknya dan menyerap enam peratus GST bagi menggalakkan lebih ramai pelanggan membeli-belah di gedung tekstil terkemuka itu.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Mohamed Faroz Mohamed Jakel berkata, Jakel sentiasa mengutamakan kepuasan pelanggan meskipun terpaksa mengorbankan keuntungan sebanyak RM15 juta hingga RM20 juta untuk menyerap GST.

“Sesetengah orang risau semua peniaga menaikkan harga selepas GST. Tetapi tidak bagi Jakel kerana kita menjadikan kuantiti sebagai sasaran.

“Kita fikir dalam jangka masa panjang dan tidak mahu pelanggan berhenti membeli-belah. Apabila lebih ramai datang ke Jakel, jualan pun banyak dan untung yang agak lumayan,” katanya di Jakel Mall di sini, kelmarin.

Menurutnya, Jakel juga dapat melakukan banyak penjimatan apabila hanya perlu membayar GST sebanyak enam peratus berbanding cukai kerajaan sebanyak 10 peratus bagi barang yang diimport sebelum ini.

“Pembekal Jakel di luar negara juga bersetuju kurangkan harga dua hingga tiga peratus. Maka, Jakel tidak perlu menaikkan harga kerana sebagai peniaga kita kena ada etika perniagaan.

Dalam pada itu, katanya, Jakel juga merancang mendapatkan pengiktirafan Guinness World Record agar Jakel Mall tersenarai sebagai gedung tekstil terbesar di bawah satu bumbung dengan satu pemilik.