SHAH ALAM: Perdebatan di antara menteri MCA dan Umno sama ada Kabinet membincang isu enakmen hudud Kelantan berterusan apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri Wee Ka Siong menegaskan perbincangan itu wujud.
Wee hari ini merujuk kepada minit Kabinet sebagai menjawab kenyataan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin pada hujung minggu lalu bahawa Kabinet tidak membincang hudud dan MCA tidak membuat bantahan pada mesyuarat mingguan.
"Menurut Khairy, Kabinet tidak membincang hudud pada 3 April. Memang kita tidak membincang mengenainya kerana Kabinet tidak akan membincang hudud setiap minggu.
“Tetapi jika anda kata Kabinet tidak pernah membincang isu hudud, ia adalah tidak benar,” kata Wee di satu sidang akhbar hari ini.
Katanya, Kabinet membincang isu hudud tiga kali – pada 17 Disember 2014, 20 dan 27 Mac 2015.
“Menurut rekod Kabinet pada 17 Disember 2014, dari muka surat 89 hingga 95, jelas menunjukkan Kabinet membincang isu hudud,” katanya.
Wee berkata, Kelantan menangguhkan pembentangan enakmen itu di peringkat negeri berikutan banjir sehingga ia diluluskan pada 19 Mac.
“Pada hari yang sama, ketua parti komponen BN mengadakan mesyuarat dan mereka menyatakan pendirian mereka terhadap isu hudud kepada pemimpin BN Najib Razak,” tambah beliau.
Wee juga merujuk kepada minit Kabinet pada 20 Mac (muka surat 108 hingga 116) dan 27 Mac (muka surat 39 hingga 45) yang beliau dakwa merakamkan perbincangan mengenai hudud.
“Saya ingin menegaskan bahawa MCA menentang hudud sejak zaman bekas PM Dr Mahathir Mohamad sehingga era Najib.
“Adalah tidak adil untuk menyatakan MCA tidak menentang hudud. Memang kita tidak membincangnya pada 3 April. Takkan Kabinet akan membincang perkara sama setiap minggu,” beliau menekankan.
Bagaimanapun, Wee berkata kandungan minit Kabinet tidak boleh didedahkan kerana ia adalah sulit.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan