KUALA LUMPUR: Ada banyak lagi urusan kerajaan dan rang undang-undang perlu diselesaikan sebelum rang undang-undang hudud PAS boleh dibawa ke Parlimen, kata seorang menteri hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap hal-ehwal parlimen, Datuk Seri Shahidan Kassim, berkata beliau tidak pasti sama ada dua rang undang-undang persendirian (RUU) dibawa pemimpin PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dapat dibawa ke Parlimen pada sesi ini.
“Kita perlu menyelesaikan urusan kerajaan dulu, da nada banyak perkara perlu dibereskan menjelang hujung minggu.
“Kita juga perlu memberi laluan kepada rang undang-undang persendirian dikemuka awal mesti diselesaikan dulu. Tidak boleh bagi keutamaan, mesti berlaku adil,” kata Shahidan kepada Malay Mail Online di lobi Parlimen.
Dua RUU Hadi bagi mengenepikan halangan perundangan terhadap pelaksanaan hudud di Kelantan sudah tertera dalam kertas perintah hari ini, pada minggu terakhir sidang terkini Parlimen.
Bagaimanapun belum pasti RUU itu akan didebatkan minggu ini kerana kini terdapat 23 lagi usul dan perkara menunggu giliran.
RUU Hadi ialah untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355).
“Perkara 2 bertujuan meminda seksyen 2 Akta 355 bagi menggantikan peruntukan sedia ada berkaitan bidang kuasa Mahkamah Syariah ke atas seseorang yang mengakui beragama Islam,” kata dokumen penerangan kepada RUU Hadi yang diberi kepada wartawan.
Tujuan pindaan itu adalah untuk memperkukuhkan bidang kuasa Mahkamah Syariah dan memberi kuasa bagi menjatuhkan hukuman ke atas Muslim di Kelantan.
Dewan Undangan Negeri Kelantan meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II)(1993) 2015 pada bulan lalu dengan 31 undi dari PAS dengan disokong oleh 12 daripada Umno.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan