SHAH ALAM: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini menyindir
pihak yang sengaja mensensasikan isu gambar pertemuannya dengan bekas
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim di Jakarta baru-baru ini.
Ujarnya, tidak perlu ke Jakarta semata-mata untuk berbincang soal Selangor.
Media beberapa hari lalu melaporkan terdapat cubaan untuk menjadikan
Khalid sebagai menteri besar Selangor sekali lagi, sekaligus menjatuhkan
Azmin Ali.
Namun desas-desus itu pantas ditepis PAS Selangor.
Bagaimanapun penyebaran gambar Hadi dan Khalid di negara seberang itu meningkatkan suhu politik antara PAS dan PKR.
Hadi dalam reaksinya berkata, perjumpaan itu bukan rahsia cuma kebetulan semasa bertemu dengan ulama Indonesia.
Khalid adalah rakan kepada ulama itu.
"Khalid adalah rakan kepada ulama Indonesia. Kebetulan jumpa. Tetapi
gambar keluar pula. Biasalah... nak lakukan surat khabar," katanya
semasa merasmikan mesyuarat PAS kawasan Kajang, hari ini.
"Kalau kita nak bincang hal Selangor, di Selangor lah. Buat apa di Jakarta?" soalnya.
Khalid dalam status Facebook beliau turut menjelaskan yang pertemuannya
dengan Hadi, disertai pelbagai ketua komuniti Islam, adalah demi
mengukuhkan hubungan baik Malaysia dengan pemimpin badan bukan kerajaan
Islam di republik itu.
"Amat kritikal untuk kita semua memastikan masyarakat Islam tidak
ketinggalan dalam memainkan peranan dan tidak tercicir dalam kepesatan
pembangunan ekonomi terutama memanfaatkan potensi besar dengan wujudnya
Asean Economic Community (AEC), iaitu satu pasaran bebas bagi 600 juta
penduduk, atau setara dengan lebih 9% daripada pasaran pengguna dunia.
"Namun, untuk mencapai hasrat tersebut, perlu ada kestabilan
sosio-ekonomi dan politik terlebih dulu," katanya dalam posting yang
dimuat naik semalam.
Khalid pada 16 April lalu memuat naik gambar di Facebook dan menulis
posting mengatakan beliau dan Hadi berkesempatan mengunjungi rakan lama
mereka, Speaker Dewan Perwakilan Indonesia Irman Gusman di Jakarta.
"Kami berbincang tentang peri penting mengukuhkan ikatan ukhuwah antara masyarakat Islam khususnya di rantau ini," katanya.
Hubungan PKR dan PAS sebelum tidak berjalan lancar akibat tidak sependapat perihal isu 'Langkah Kajang'.
Langkah Kajang adalah usaha PKR menjatuhkan Khalid sebagai Menteri Besar Selangor dan digantikan dengan Azmin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan