MALAYSIAKINI
Dengan hanya membeli kalungan bunga, pelanggan yang mengunjungi beberapa
pusat hiburan di ibu kota boleh membida untuk mendapatkan khidmat seks
yang ditawarkan pelayan pelanggan (GRO).
Pusat hiburan terbabit akan menyediakan kalungan bunga dengan nilai
harga antara RM50 hingga RM500 untuk pelanggan premis terbabit dan
pelanggan akan membuat bidaan terhadap GRO dengan pembida tertinggi akan
mendapat khidmat seks.
Selain itu, para pelanggan juga akan mendapat tarian khas daripada gadis
yang 'dibida'. Itu merupakan satu "kelainan" yang dibuat oleh pusat
hiburan terbabit "bagi merancakkan kegiatan pelacuran".
Supt Pencegahan Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap Jabatan Siasatan
Jenayah Bukit Aman Supt Razali Abu Samah ketika mendedahkan perkara itu
berkata, pihaknya mengesan modus operandi terbaru itu hasil pemantauan
dan risikan berikutan maklumat orang awam.
"Pelanggan akan membida gadis kalung bunga dengan harga yang tinggi...
Jika pelanggan membeli lebih bunga yang dijual, mereka akan mendapat
khidmat seks daripada penjual bunga terbabit. Pelanggan boleh melakukan
aktiviti itu sama ada menyewa hotel atau di rumah pelanggan," katanya
kepada Bernama.
Beliau berkata cara ini bertujuan mengaburi pihak berkuasa dengan
beroperasi tanpa bergantung kepada sesuatu premis serta menjalankan
kegiatan tidak bermoral itu di lokasi lebih strategik seperti di hotel
bajet atau kediaman mereka.
Sementara itu, Razali berkata pihaknya telah mengeluarkan 60 saman dalam
tempoh tiga bulan pertama tahun ini terhadap rumah urut di ibu negara
atas pelbagai kesalahan berbanding 13 saman dalam tempoh sama tahun
lepas.
"Kelicikan pengendali beberapa rumah urut yang menjalankan aktiviti
pelacuran secara haram kini menggunakan strategi antaranya beroperasi di
luar premis dan dalam talian bagi mengaburi pihak berkuasa," katanya.
Dalam perkembangan lain, Razali berkata pihaknya turut bekerjasama
dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam
mengesan perkhidmatan pelacuran yang beroperasi secara dalam talian.
Katanya hampir 50 laman web di negara ini kini dalam perhatian pihak
berkuasa yang dipercayai menawarkan perkhidmatan pelacuran secara
bersembunyi dengan mengenakan bayaran khas untuk mendapatkan pelanggan,
selain membuat temu janji di lokasi tertentu.
"Hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk bantuan maklumat daripada orang
awam, pencapaian yang memberangsangkan ini menunjukkan kejayaan pihak
berkuasa dalam memintas kelicikan dan menumpaskan aktiviti haram
mereka," katanya.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan