MALAYSIAKINI
Polis menahan 52 warga China yang dipercayai terlibat dalam sindiket
penipuan 'Macau Scam' di enam buah kondominium mewah sekitar ibu negara,
sejak kelmarin.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Law Hong Soon berkata kesemua
yang ditahan itu terdiri daripada 26 lelaki dan 26 perempuan berumur 18
hingga 52 tahun.
"Hasil risikan dan siasatan polis selama dua bulan, kita menerima
sebanyak 15 aduan tentang sindiket penipuan itu daripada orang awam,"
katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur
malam tadi,
Beliau berkata dalam 'Ops Pelican' bermula 6 petang kelmarin hingga 5
pagi tadi, polis menyerbu enam buah kondominium mewah sekitar ibu kota.
"Mereka menggunakan premis kondominium mewah dengan kawalan keselamatan
yang ketat bertujuan mengaburi kegiatan mereka daripada dihidu oleh
pihak berkuasa," katanya.
Law berkata pekerja atau operator anggota sindiket itu dikurung
sepanjang masa dan tidak dibenarkan keluar dari kediaman yang dijadikan
tempat operasi mereka itu.
"Setiap ahli sindiket dibayar gaji RM2,000 untuk melakukan kegiatan itu
dan mereka mempunyai tukang masak sendiri dari China yang menguruskan
segala keperluan harian mereka bagi mengelak operator ini berhubung
dengan pihak luar," katanya.
Beliau berkata modus operandi yang digunakan ialah mereka akan
menghubungi mangsa dan memberitahu mangsa memenangi cabutan bertuah
bernilai jutaan ringgit daripada syarikat luar negara.
"Ahli sindiket akan memberi nombor telefon untuk dihubungi bagi
memudahkan mangsa menuntut hadiah yang ditawarkan...sebelum hadiah
diberikan, ahli sindiket akan meminta mangsa membayar cukai dan insuran
ke dalam akaun banknya," kata Law.
Beliau berkata selepas wang dimasukkan ke dalam akaun tersebut, suspek
gagal dihubungi dan mangsa tidak memperoleh wang hadiah yang dikatakan
dimenangi mereka.
Seterusnya, mangsa juga akan menerima panggilan telefon dari seseorang
yang mengaku sebagai pegawai bank tempatan dan mendakwa akaun kad kredit
mangsa mempunyai bayaran tertunggak, katanya.
"Mangsa kemudian diminta menghubungi seseorang yang kononnya pegawai
dari Bank Negara Malaysia untuk mengelak nama mangsa disenarai hitamkan
atau akaun dibekukan... akhirnya mangsa akan mengikuti arahan suspek
dengan membuat pemindahan wang ke akaun bank tertentu melalui e-banking
atau mesin deposit tunai," katanya.
Beliau berkata hasil siasatan polis mendapati, kesemua 52 yang ditahan
itu memasuki negara ini menggunakan visa sebagai pelawat dan diperdaya
oleh sindiket yang menawarkan pekerjaan baik di negara ini, dengan
menjadikan mereka sebagai operator mengendalikan Macau Scam itu.
Polis turut merampas 101 peralatan komputer, komputer riba (66 buah),
telefon bimbit (55), beg mengandungi risalah nombor telefon (10), wang
tunai RM14,955 dan wang tunai Yuan 28,695.
"Ini merupakan ops Macau Scam terbesar dibuat polis untuk tahun ini
melibatkan jumlah rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM200,000.
Selain itu, polis akan memburu dalang yang menjalankan kegiatan ini,"
katanya.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan