HALAMAN SANTAI

Khamis, 16 April 2015

MP DAP: Bubarkan saja Suhakam

MALAYSIAKINI


 


MP DAP, Lim Lip Eng berkata, para pesuruhjaya dalam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) sepatutnya terus meletak jawatan jika percaya badan itu tidak lagi bertaring.

Beliau membuat saranan itu ekoran pengakuan pengerusi Suhakam, Tan Sri Hasmy Agam semalam bahawa badan itu hanya “harimau tidak bertaring”.

"Mungkin sebaiknya, pesuruhjaya Suhakam perlu meletak jawatan beramai-ramai dan mengemukakan satu surat bantahan kepada Yang di-Pertuan Agong atas layanan ke atas mereka oleh Putrajaya,” kata Lim.

Lim berkata, sekiranya pengakuan Hasmy itu benar, suruhanjaya itu sepatutnya dimansuhkan sahaja.

Beliau merujuk kepada kenyataan Hasmy semalam bahawa kerajaan tidak gerun kepada suruhanjaya itu kerana bidang kuasanya terhad.

Pengerusi Suhakam itu juga kecewa kerana kerajaan tidak membuat rundingan sebaiknya dengan badan tersebut sebelum meminda atau menggubal akta baru.

Lim berkata, para pesuruhjaya Suhakam sepatutnya membuat aduan kepada Majlis Raja-Raya atas layanan tersebut.

Beliau membangkitkan pendedahan Hasmy bahawa kerajaan tidak merujuk kepada badan tersebut dari semasa ke semasa sebelum membentangkan sebarang rang undang-undang di Parlimen.

Bubar Suhakam

Perkara itu dinafikan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Lim berkata, kerajaan sepatutnya menubuhkan satu suruhanjaya baru untuk menambahbaik undang-undang dan memastikan hak asasi terpelihara.

"Jelas sekali Suhakam nampaknya tidak lagi relevan dan hanya membazirkan wang rakyat, maka Kabinet sepatutnya bincangkan segera untuk bubarkan Suhakam,” katanya.

Katanya, suruhanjaya baru itu juga boleh meletakkan syarat agar dirujuk terlebih dahulu sebelum mana-mana rang undang-undang dibentangkan di Parlimen.

Sementara itu, MP PAS, Datuk Mahfuz Omar pula berkata kerajaan perlu menjelaskan mengenai kegagalan kerajaan untuk merujuk kepada Suhakam.

Zahid juga perlu menggunakan peluang di Dewan Negara untuk membuat pindaan ke atas Pota setelah mengambil kira bantahan Suhakam ke atas peruntukan dalam rang undang-undang tersebut.

“Sungguh memalukan apabila Kerajaan sendiri gagal menghormati badan hak asasi yang mereka tubuhkan sendiri.

“Pada kesempatan Sidang  Dewan Negara yang sedang berlangsung sekarang, pihak kerajaan wajar membuat pindaan terhadap Pota setelah mengambilkira pandangan dan rundingan dengan pihak Suhakam.

“Setelah pindaan dibuat di Dewan Negara, Pota tersebut perlu dikemukakan semula di Dewan Rakyat sebelum pihak kerajaan menguatkuasakannya nanti,” katanya.


Tiada ulasan: