KUALA LUMPUR: Satu akta baru sedang dikaji bagi melihat sama ada ia
bersesuaian untuk diusulkan di Dewan Rakyat ekoran keghairahan
pembangkang yang semakin berani menghina institusi kehakiman.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, buat
masa ini, pihaknya sedang meneliti perkembangan tersebut seraya mahu
melihat apa yang boleh diperuntukkan dalam akta baru itu.
"Jabatan peguam negara sedang menguruskan akta baru yang mensabitkan
pencelaan hakim dan penghinaan kepada mahkamah di samping undang-undang
sedia ada," katanya kepada pemberita di lobi Dewan Rakyat tadi.
Beliau mengulas tindakan pembangkang yang semakin berani mengusulkan
perkara yang dilarang oleh peraturan mesyuarat di Dewan Rakyat baru-baru
ini.
Pakatan pembangkang pada 11 Mac lalu mengemukakan usul untuk mencela
lima orang hakim Mahkamah Persekutuan yang terlibat menjatuhkan hukuman
bersalah terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung
kesalahan meliwat.
Usul itu dikemukakan kepada Speaker Dewan di bawah Peraturan Majlis
Meyuarat 27 (3) dan 36 (8) dan Perkara 127 Perlembagaan Persekutuan.
Bagaimanapun mengikut peruntukan dalam perkara 127 itu menetapkan
bahawa Dewan Rakyat dan mana-mana Dewan Undangan Negeri dilarang
membincangkan kelakuan mana-mana hakim kecuali satu usul khusus yang
disokong oleh sekurang-kurangnya satu perempat daripada bilangan anggota
Parlimen.
Pada 10 Februari lalu, lima hakim yang terlibat dalam kes liwat II; Tun
Ariffin Zakaria, Tan Sri Raus Sharif, Tan Sri Abdul Hamid Embong, Tan
Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali menjatuhkan hukuman lima
tahun penjara terhadap Anwar kerana didapati bersalah meliwat bekas
pembantu khasnya, Saiful Bukhari Azlan pada 2008.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan