HALAMAN SANTAI

Selasa, 7 April 2015

Peguam Sirul: Menjurus pada satu kesimpulan...

MALAYSIAKINI


 


Tidak kira sama ada serangan atau teguran, kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad hanya menjurus kepada satu kesimpulan, iaitu pengunduran Datuk Seri Najib Razak dan peralihan tampuk kepimpinan Umno dan kerajaan.

Mengulas perkara itu, peguam kepada Sirul Azhar Umar berkata “kerangka dan sasar serangan” harus lengkap dan berstruktur dalam perkara itu.

“Tidak wajar sekadar meruntun turun, tapi tiada perancangan siapa pengganti.

“Kalau sudah ada perancangan siapa yang bakal dinobatkan nakhoda, ahli akar umbi dan rakyat kebanyakan harus difahamkan,” kata Hasnal Rezua Merican.





Tidak jelas sama ada beliau menyokong pentadbiran Najib atau mahu Mahathir kembali ke tampuk kuasa, Hasnul yang juga pemimpin Umno bahagian menulis:

”Kalau Tun Mahathir mahu Datuk Seri Najib turun, untuk Tun Mahathir sendiri kembali menjadi PM, saya sokong! ” tulisnya di Facebook hari ini.

“Kalau Tun Mahathir mahu Datuk Seri Najib turun, penggantinya sudah ada cuma belum diuar-uarkan, saya tangguhkan sokongan sehingga saya menilai bakal penggantinya.

“Namun jika Tun Mahathir mahu Datuk Seri Najib turun, tanpa sebarang perancangan konkrit tentang proses peralihan kuasa, saya tidak menyokong sama sekali 'penggulingan kuasa' yang tidak konvensional dan tidak berhemah sebegini.”

Mahathir pada 2 April menulis di blog mengkritik pentadbiran Najib daripada pelbagai aspek.

Ia dilihat antara kecaman paling keras diajukan oleh bekas perdana menteri selama 22 tahun ini.

Perkara itu termasuk membangkitkan persoalan berhubung pihak yang mengarahkan pembunuhan Altantuya, susulan reaksi Najib bahawa perkara itu “mengarut” sebelum ini.

Beliau juga mengulangi amaran bahawa BN akan tewas dalam pilihan raya umum akan datang jika Najib terus menerajui parti itu, selain terus mengasak itu 1Malaysia Developement Bhd (1MDB).

Mahathir juga berkata semua kaum tidak lagi berdiri di belakang pemimpin nombor satu negara.

Susulan kenyataan mengejutkan itu, ibu Sirul, Piah Samat dikatakan ingin bertemu Mahathir dan ingin "memberitahu sesuatu" kepadanya.

Dalam temubual eksklusifnya dengan Malaysiakini sebelum ini Sirul berkata dia hanya mengikut arahan dan pihak yang mempunyai motif untuk membunuh Altantuya masih bebas.

Sirul dan seorang lagi bekas anggota polis elit Azilah Hadzri disabitkan bersalah membunuh warganegara Mongolia itu dan dijatuhi hukuman mati.

Sirul tidak hadir ketika dukuman dijatuhkan dan kini ditahan oleh imigresen Australia di Sydney.
 


Tiada ulasan: