Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak menolak kemungkinan Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh dan Rompin akan diadakan serentak berikutan tarikh kekosongan kerusi yang berdekatan.
Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, perkara itu akan disahkan Jumaat ini apabila SPR mengumumkan tarikh PRK Rompin yang akan diadakan susulan kematian penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dalam satu tragedi helikopter terhempas Sabtu lalu.
"Kalau dilihat tarikh kekosongan kerusi begitu dekat, iaitu 4 hari saja. Untuk Permatang Pauh, 1 April kekosongannya dan Rompin, mungkin kekosongan kerusinya kita isytiharkan pada 5 April.
"Kemungkinan sangat besar serentak. Tapi kena tunggu Jumaat," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPR di Putrajaya, hari ini. Jamaluddin, yang juga bekas duta Malaysia ke Amerika, pada pilihan raya umum lalu memenangi kerusi Parlimen Rompin dengan majoriti 15,114 undi mengalahkan calon PAS Nuridah Mohd Salleh.
SPR hari ini mengumumkan PRK Permatang Pauh akan diadakan pada 7 Mei dan hari penamaan calon pada 25 April.
PRK Permatang Pauh melibatkan seramai 71,890 pengundi dengan 627 daripadanya akan terlibat membuang undi awal pada 3 Mei.
Pilihan raya itu diadakan susulan kekosongan kerusi itu diumumkan Speaker Dewan Rakyat berikutan keputusan Lembaga Pengampunan menolak permohonan pengampunan penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dihukum penjara 5 tahun pada Februari.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan