HALAMAN SANTAI

Jumaat, 17 April 2015

PRK Rompin dan Permatang Pauh uji kekuatan PR

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar

 
Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: Penganalisis politik, Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar percaya dua pilihan raya kecil (PRK) yang berlangsung Mei depan menjadi penilaian penting tahap kerjasama parti-parti di dalam Pakatan Rakyat (PR).
 
Hal itu disuarakan berikutan kerjasama di antara PAS-PKR-DAP semakin memburuk selepas Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan kerana kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya.
 
"PR sekarang tidak ada penyatu apabila Anwar dipenjarakan. 
 
"Dari segi kemampuan PR untuk bertahan, ia akan diuji pada dua pilihan raya kecil akan datang. Di Permatang Pauh contohnya pernah timbul desas-desus PAS tidak mahu menolong PKR, namun ia dinafikan. 
 
"Malah saya tidak akan terkejut jika DAP akan mengambil sikap tidak mahu menolong PAS di PRK Rompin," katanya ketika diwawancara secara eksklusif bersama Antarapos, baru-baru ini.
 
Selain Permatang Pauh, Rompin juga terpaksa mengadakan pilihan raya kecil selepas penyandangnya, Datuk Seri Jamaluddin Jarjis terlibat dalam nahas helikopter, 4 April lalu.
 
Keyakinan yang disuarakan Tunku Mohar, yang juga pensyarah kanan di Fakulti Sains Politik, Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu dilihat senada dengan ramalan PAS bahawa DAP bakal memboikot mereka menjelang dua pilihan raya tersebut.
 
Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS, Dr Zuhdi Marzuki semalam memberitahu Antarapos bahawa parti itu tidak menolak kemungkinan tersebut, rentetan tindakan DAP memutuskan hubungan dengan Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada hujung bulan lalu.
 
DAP dikatakan kecewa dengan tindakan bersendirian Presiden PAS itu membentang usul rang undang-undang persendirian (RUU) berkenaan pelaksanaan hudud di Kelantan ke Dewan Rakyat, sementelah ia bukan sebahagian daripada persetujuan bersama pakatan pembangkang itu.
 
Zuhdi turut menambah, sekiranya tindakan memboikot itu diambil DAP, ia turut menjejaskan peluang PKR untuk menang di PRK Permatang Pauh.
 
Bukan itu sahaja, ia akan memburukkan lagi keretakan di dalam Pakatan Rakyat, ujarnya.
 
 

Tiada ulasan: