Satu lagi kumpulan, termasuk bekas kakitangan kerajaan dan pemimpin terkemuka dalam masyarakat, muncul dengan surat terbuka menggesa Putrajaya menyatakan komitmen semula terhadap 10 nilai sejagat menjadikan Malaysia negara yang sederhana.
Surat yang ditandatangani 40 individu itu mengatakan, 10 nilai itu - amanah, tanggungjawab, jujur, dedikasi, sederhana, tekun, berdisiplin, bekerjasama, berperibadi mulia dan bersyukur diperkenalkan kerajaan pada 1982 bagi menerapkan nilai Islam sejagat.
Surat itu dibuat 5 bulan selepas sekumpulan 25 tokoh Melayu terkemuka (G25) menulis surat terbuka menyeru dialog rasional mengenai Islam diadakan. Ia menerima sokongan meluas daripada banyak pihak.
Dalam surat terbuka 40 individu itu bertajuk 'Strengthen the Foundational Structure of our Nation' (Mengukuhkan struktur asas negara kita), kumpulan itu mendakwa, kesederhanaan sebagai satu nilai "diabaikan sesetengah pihak, termasuk pemimpin politik yang menyokong pandangan sektarian yang sesuai dengan pengikut mereka."
"Tidak pernah dalam sejarah negara, mengalami tekanan dan ketegangan menjejaskan prinsip asas kenegaraan yang kini mengancam untuk memusnahkan ikatanmenyatukan semua rakyat Malaysia bersama dan mengekalkan negara yang terdiri daripada komponen wilayah Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak," kata kumpulan itu dalam surat mereka.
Kenyataan tiga muka surat itu, ditandatangani bekas hakim, duta, aktivis, pendidik dan individu penting, mengatakan Malaysia mempunyai "perintah undang-undang sivil negara yang neutral daripada segi agama".
Kumpulan itu melahirkan "kebimbangan mendalam" kerana kesederhanaan kini ditenggelamkan suara yang tidak bertoleransi dan pelampau yang lebih kuat, mengancam untuk merobek perpaduan rakyat Malaysia.
"Malang sekali, dasar yang menggalakkan 10 nilai ini menjadi satu platform untuk 'Islamisasi' oleh birokrat agama,” kata mereka.
Mereka menyatakan keyakinan orang ramai terhadap sistem undang-undang terhakis selama ini, disebabkan birokrat agama, yang menurut mereka, diberi lebih kepentingan "menyeluruh" daripada Perlembagaan Persekutuan.
Kumpulan itu menegaskan, sejarah Perlembagaan Malaysia mencatatkan hakikat yang negara ini sebuah negara sekular dengan Islam sebagai agama Persekutuan.
"Sebagai sebuah negara yang mempunyai pelbagai warna dan agama, kita menghalakan takdir kita atas sebuah perintah undang-undang yang berbentuk sivil dan tidak agama, berasaskan kepada prinsip berkembar Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang.
"Kita bukan sebuah negara teokratik dengan undang-undang agama ditetapkan sebagai undang-undang tertinggi negara. Kita juga tidak sepatutnya dipaksa hidup di bawah peraturan diktat agama di mana perintah birokrat agama mempunyai kesan undang-undang dan hukuman.
"Cakap mulut dan kenyataan mereka yang warak mengakui keluhuran Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi negara ini. Pada masa sama, diktat birokrat agama diberi lebih kepentingan "menyeluruh" daripada Perlembagaan.
"Ini menghakis keyakinan orang ramai terhadap perintah undang-undang negara dan terhadap pentadbir dan pengadil perintah ini," kata mereka.
Mereka juga menyalahkan "birokrat agama" kerana menghentikan pelaksanaan undang-undang tertentu, seperti Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 yang tidak dapat dikuatkuasakan selama hampir 2 tahun.
"Nasib yang sama menimpa inisiatif pembaharuan undang-undang, yang tidak sempat dilakukan, untuk mengekalkan status quo hak pihak yang terlibat dalam perkahwinan sivil apabila seorang daripada pasangan memeluk Islam selepas membubarkan perkahwinan mereka."
Mereka berkata terdapat isu bidang kuasa yang serius dan keputusan yang membimbangkan daripada segi kehakiman apabila ada mahkamah sivil menolak membuat keputusan berhubung isu Perlembagaan dan malah menyerahkan tugas itu kepada Mahkamah Syariah.
"Terdapat juga kebimbangan mendalam mengenai kesan negatif ke atas kebebasan beragama dan hak beragama dan sivil orang bukan Islam, sebagai contoh, hak perlembagaan ibu bapa menentukan agama dan didikan agama anak-anak mereka yang di bawah umur," kata kumpulan 40 individu tersebut.
Di samping itu, agama bukan Islam seolah-olah semakin terpinggir di tengah-tengah tanda semakin meningkatnya tiada toleransi terhadap mereka, kepercayaan dan amalan mereka, kata kumpulan itu.
"Perkembangan ini menjejaskan tuntutan Malaysia menjadi model sebuah negara yang sederhana di mana Islam wujud dengan harmoni bersama agama lain dalam masyarakat pelbagai budaya.”
Mengatakan mereka menulis surat itu dengan "kesedihan yang mendalam", kumpulan itu menggesa Putrajaya mengulangi komitmen mereka membangunkan 10 nilai universal itu, untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang hebat dan menyatakan sokongan mereka terhadap kebimbangan dan cadangan yang dibangkitkan kumpulan G25 pada Disember.
"Kami menganggap diri kami bertanggungjawab menyeru kerajaan persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri memberi perhatian yang tidak berbelah bahagi kepada bahaya besar yang melanda negara ini," kata mereka.
Antara mereka yang menandatangani surat itu ialah Datuk Albert Talalla, bekas duta ke China, Jerman dan Amerika Syarikat; Bob Teoh, bekas setiausaha agung Kesatuan Wartawan Kebangsaan; Datuk Choo Siew Kioh, bekas duta besar ke Sweden dan Mali; dan Tan Sri Clifford Francis Herbert, bekas ketua setiausaha Kementerian Kewangan.
Yang lain termasuk Hartini Zainudin, aktivis kanak-kanak; Datuk Ir KJ Abraham, bekas timbalan ketua pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran; Datuk Kuthubul Zaman Bukhari, pengerusi Proham dan bekas presiden Majlis Peguam Malaysia; Datuk Lily Zachariah, bekas duta besar ke Itali, Chile dan Senegal; Datuk Stephen Foo Kiat Shin, bekas peguam besar negeri Sabah; Dr Lyana Khairuddin, pendidik dan ahli sains; Datuk Stanley Isaacs, bekas ketua pendakwaan, pesuruhjaya semakan undang-undang dan penggubal undang-undang Parlimen di Jabatan Peguam Negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan