Mahathir Mohamed Mahathir Mohamed
 
 
 
CYBERJAYA - Sistem pengapungan ringgit Malaysia adalah wajar jika keselamatan dan kestabilan negara dikekalkan, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed.   

Beliau berkata, ketidakstabilan politik atau pengurusan ekonomi yang lemah akan memberi ruang dan peluang kepada pihak tidak bertanggungjawab untuk memanipulasi ringgit dan seterusnya menyebabkan kejatuhan nilai mata wang itu.   

"Apa yang perlu kita buat untuk memastikan ringgit tidah terus merosot ialah memastikan pengurusan politik dan ekonomi negara ini baik.   

"Sudah pasti kita boleh tetapkan kadar mata wang, tetapi jika anda mahu mengapungkannya, tolong pastikan negara ini aman, stabil dan undang-undang dipatuhi, tiada rasuah serta politik negara ini stabil," katanya.   

Dr Mahathir berkata demikian ketika menyampaikan ceramah di Siri Kepemimpinan Global bertajuk 'Wawasan 2020, Kesilapan Dibuat, Pengajaran Diambil dan Cara-Cara Untuk Bergerak Ke Depan' di sini, hari ini.   

Ringgit ditambat 3.80 kepada dolar AS pada 1998 selepas nilai mata wang tempatan itu merudum semasa krisis kewangan Asia pada 1997.   

Dr Mahathir yang bertindak menambat ringgit itu berkata, kerajaan terpaksa menetapkan kadar 3.80 kepada dolar pada ketika itu berikutan saingan dari negara-negara jiran.   

"Kenapa 3.80? Jika anda menjadikan mata wang itu terlalu kukuh, kita tidak boleh bersaing antara satu sama lain, oleh kita tambat pada 3.80 bagi setiap dolar AS dan ia kekal tetap untuk masa lebih lama, dan disebabkan itu mata wang kita menjadi stabil.  

"Kita pulih jauh lebih cepat daripada negara lain dan mereka yang dulunya mengecam kita, kini menyatakan kita telah melakukan perkara yang tepat," katanya.   

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, matlamat untuk menjadi negara maju menjelang 2020 yang hanya lima tahun lagi masih relevan, tetapi menegaskan yang  Malaysia perlu mencapai status itu melalui acuannya sendiri bukan meniru daripada negara maju di Barat.  

Bekas Perdana Menteri itu berkata, untuk menjadi negara maju bukan hanya bermakna kekayaan, tetapi Malaysia perlu memastikan kepintaran, pendidikan dan industrinya juga canggih.   

"Penduduk Malaysia mesti mendapat pendidikan yang baik, satu atau dua perlu menerima Hadiah Nobel atau sekurang-kurangnnya diiktiraf kerana sumbangannya...  itulah negara maju," kata Dr Mahathir. - Bernama