SHAH ALAM - Masyarakat umum perlu sentiasa berwaspada dengan sebarang
gerakan yang menggunakan nama Islam untuk merekrut pengikut terutama
yang berkaitan dengan militan.
Penasihat Eksekutif Ilmuwan Malaysia (iLMU), Dr Fathul Bari Mat Jahya
berkata, gerakan yang menggunakan nama Islam bukan bermaksud gerakan
tersebut benar.
"Hanya kerana nama gerakan itu dikaitkan dengan Islam, tidak bermakna
gerakan itu betul. Sebab itu perlu diberikan pendedahan yang jelas dan
tuntas kepada rakyat agar tidak mudah dipengaruhi.
"Kalau kita lihat dalam sejarah Islam, golongan-golongan yang digelar
sebagai 'khawarij'...yang mana mereka ini membaca al-Quran, bukan tak
baca. Jadi, sikap-sikap mereka seperti ini yang membuatkan orang awam
mudah dipengaruhi," katanya kepada Sinar Online.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan agar golongan yang tersasar daripada
maksud perjuangan Islam sebenar ini dilabel sebagai 'khawarij' bukannya
pejuang jihad atau 'salafi jihadi'.
"Sebab itu saya lagi setuju kalau kita terus melabelkan gerakan ini
sebagai 'khawarij'. Lebih tepat penggunaannya kerana asalnya di dalam
Islam dahulu, zaman Nabi dan selepas zaman Nabi pun, mereka ini digelar
'khawij' kerana apa? Kerana mereka ini orang yang cintakan Islam,
mahukan Islam tetapi kefahaman mereka tentang Islam itu salah.
"Saya harap anak-anak muda tidak mudah dipengaruhi dengan laungan yang
menggunakan nama Islam, sebaliknya perlu dilihat intipati sesuatu
perjuangan.
"Saya cadangkan kerajaan Malaysia, Kementerian Dalam Negeri, Bahagian
Counter Terorism menggunapakai nama ini. Saya tidak setuju mereka
dilabel sebagai 'salafi jihadi'," katanya.
Beliau melahirkan kebimbangan jika perkataan yang membawa maksud baik
itu dikaitkan dengan militan, ia akan membuatkan umum takut untuk
menggunakannya pada masa akan datang.
"Perkataan 'salafi' dan 'jihad' ini adalah perkataan yang sangat baik.
Namun, sekarang ini masalahnya adalah jelas penyalahgunaan perkataan
jihad itu. Guna perkataan jihad tapi kita memaksudkan perkataan yang
salah atau batil. Seperti kata Ali bin Abi Talib, perkataan yang benar
tetapi mereka menginginkan maksud yang batil.
"Kita bimbang nanti sampai orang membenci 'salafi' sedangkan perkataan
itu merujuk kepada generasi sahabat nabi. Jadi, tak naklah orang
menganggap perkataan 'salafi' itu tidak bagus. Begitu juga perkataan
jihad yang ada maksud bagus.
"Cuma salah IS, mereka telah menyalahgunakan perkataan jihad dan
memberi tafsiran yang salah tentang jihad. Jadi, mereka sesuai digelar
'khawarij' daripada digelar 'salafi jihadi'. Ekstremisme ini adalah
ideologi 'khawarij'.
"Saya bimbang lepas ini, orang takut nak bercakap tentang jihad. Sebab
apa? Kita digambarkan jihad ini bahaya, akibatkan perpecahan, peperangan
dan sebagainya. Sedangkan jihad itu luas," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan