KUALA LUMPUR: Keahlian tujuh Ahli Parlimen dan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS tergugur secara automatik selepas mereka secara rasmi diisytiharkan sebagai pimpinan Parti Amanah Negara, parti baru yang ditubuhkan oleh Gerakan Harapan Baru (GHB).
"Bila sertai parti baru, mengikut perlembagaan (PAS), secara automatik beliau akan terkeluar dari parti asal," demikian menurut Pengerusi GHB, Mohamad Sabu.
GHB hari ini mengumumkan penubuhan Parti Amanah Negara (Amanah) yang
akan berganding dengan DAP dan PKR untuk menubuhkan Pakatan Rakyat 2.0
bagi menghadapi pilihanraya umum ke 14.
Mohamad atau Mat Sabu berkata, Amanah kini berdaftar sebagai Parti
Pekerja namun pihaknya akan mengemukakan beberapa pindaan perlembagaan
dan penukaran nama parti kepada Pendaftar Pertubuhan untuk bergerak
sebagai sebuah parti Islam.
Lima lagi adalah ADUN termasuk Datuk Seri Dr Nizar Jamaluddin (Changkat Jering), Aminolhuda Hassan (Parit Yaani), Datuk Phahrolrazi Zawawi (Pengkalan Kundor), Saari Sungib (Hulu Kelang) dan Hasnul Baharudin (Morib).
Mujahid dilantik sebagai naib pengerusi, Siti Mariah sebagai ketua wanita, manakala baki lapan yang lain dilantik sebagai ahli jawatankuasa.
PAS sebelum ini menggesa wakil rakyat partinya yang terlibat dengan penubuhan parti baru itu agar segera meletakkan jawatan mereka kerana telah melanggar baiah, selain mengkhianati parti.
Bagaimanapun beberapa wakil rakyat yang berkenaan membidas kembali dengan mempersoalkan gesaan sedemikian, kerana bagi mereka, baiah adalah kepada Pakatan Rakyat (PR) dan bukan kepada parti saja.
Mengulas berhubung isu baiah itu, Penasihat Umum Parti Pekerja (Parti Amanah Negara), Ahmad Awang berkata baiah itu tidak lagi relevan memandangkan PR sudah berkubur.
"PAS bertanding atas nama PR dan ketika berbaiah sebagai calon walau atas nama parti tapi hakikatnya atas PR. Tapi PR dah roboh, maka tidak 'valid' lagi apa yang terikat di dalam baiah tersebut," katanya.
Tambah Ahmad lagi, semua parti dalam Pakatan Rakyat baik DAP, PKR mahupun PAS, kesemua calon yang menang adalah disebabkan kekuatan gabungan itu sendiri dan bukan atas faktor parti semata-mata.
Beliau seterusnya memberi contoh di mana DAP yang satu ketika dahulu hampir dibatalkan oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS), menggunakan lambang PAS dalam Pilihan Raya Umum ke-13.
"DAP memutuskan akan bertanding juga tapi guna lambang PAS kerana hubungan koalisi itu.
"Setiausaha Agung PAS (ketika itu) pun keluarkan surat watikah dengan lambang PAS kepada DAP. Jadi begitulah kiasannya," ujarnya.
LIHAT VIDEO DI SINI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan