Polis mengakui walaupun tindakan tegas dikenakan ke
atas penyokong kumpulan militan IS, namun gerakan haram itu masih sukar
dihapuskan di negara ini.
PETALING JAYA: Polis mengesahkan ada pihak yang cuba menggerakkan kumpulan militan Islam (IS) di negara ini apabila terdapat aktiviti mengibar bendera kumpulan itu di tepi jalan pada waktu malam.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Keganasan Bukit Aman, Datuk Ayub Khan Mydin Pitchay berkata, bendera IS didapati dikibarkan di lima negeri iaitu di Terengganu, Kedah, Perak, Johor dan Selangor sejak bulan lalu.
Katanya, walaupun tindakan tegas diambil ke atas penyokong kumpulan militan IS, namun gerakan haram itu masih sukar dihapuskan di negara ini.
“Polis belum menahan mana-mana individu kerana tiada orang yang nampak pihak yang bertanggungjawab mengibarkan bendera berkenaan,” katanya.
Menurut Ayub lagi, sesetengah kes kini disiasat oleh polis tempatan sementara bakinya diambil alih oleh Cawangan Khas, Bukit Aman.
Katanya, polis akan melakukan siasatan untuk mengenal pasti dalangnya.
Dalam kes di Terengganu dan Perak, pengguna internet telah memuat naik gambar bendera IS dikibarkan.
Difahamkan, pihak polis segera menurunkan bendera berkenaan sebaik sahaja menerima laporan mengenainya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Goh Kok Liang mengesahkan pihaknya menerima aduan bendera IS dikibarkan di kawasan Lebuh Raya Utara Selatan pada 18 September lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan